SAM Gesa Haramkan Plastik Guna Sekali Untuk Cegah Pencemaran

Reading Time: 3 minutes

Pencemaran plastik telah menjadi masalah serius yang menjejaskan alam sekitar marin. Fokus tindakan utama Hari Lautan Sedunia tahun ini, yang disambut setiap tahun pada 8 Jun, ialah untuk mencegah pencemaran plastik dan menggalakkan penyelesaian bagi lautan yang lebih sihat. Oleh itu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa penghapusan plastik guna sekali sebagai langkah pertama untuk membanteras pencemaran plastik.

Pembungkusan plastik merupakan kira-kira separuh daripada sisa plastik di dunia. Plastik guna sekali yang paling biasa ditemui dalam alam sekitar ialah puntung rokok, botol minuman plastik, penutup botol plastik, pembungkus makanan, beg plastik runcit, tudung plastik, penyedut minuman dan pengacau plastik, beg plastik jenis lain, dan bekas bawa pulang jenis busa. (The State of Plastic Report 2018 @UNEnvironment)

Kebanyakan plastik yang dihasilkan di seluruh dunia direka bentuk untuk dibuang. Sehingga 2017, dianggarkan 8,300 juta tan metrik (Mt) plastik dihasilkan. Sehingga 2015, hanya sekitar 9% telah dikitar semula, 12% dibakar, dan 79% terkumpul di tapak pembuangan sampah atau alam sekitar. Jika aliran pengurusan sisa dan pengeluaran semasa berterusan, diramalkan kira-kira 12,000 Mt sisa plastik akan berakhir di tapak pembuangan sampah atau dalam alam sekitar menjelang 2050 (Geyer et. al).

Aktiviti membersihkan pantai yang dianjurkan oleh SAM sejak beberapa tahun lepas di Segari, Perak mengumpulkan bertan sampah dari lautan, antaranya sampah plastik. Nelayan juga berdepan dengan plastik dan sampah lain apabila mereka memukat hasil tangkapan mereka. Kesan paling ketara pencemaran plastik terhadap hidupan marin ialah memakan sampah plastik, lemas dan tercekik oleh beratus spesies marin termasuk burung laut, penyu, ikan, kupang, krustasia dan mamalia marin.

Sebarang bahaya kepada fungsi ekosistem dan pekhidmatan yang disediakan, akibat sampah marin, akan menjejaskan kehidupan dan kesihatan penduduk. Terdapat kebimbangan utama mengenai pengumpulan bahan kimia toksik dalam rantaian makanan, bahan cemar hidrofobik yang terapung di atas permukaan air, yang terkumpul atas permukaan plastik ketika ia berada dalam jangka masa yang panjang dalam air laut yang tercemar.

Kajian baru-baru ini menunjukkan bahawa lebih 90% air botol dan malah 83% air paip mengandungi partikel mikroplastik. Jumlahnya dapat dikesan di dalam darah, usus, dan paru-paru yang semakin meningkat. Dalam jangka panjang, kita akan menghadapi wabak dengan kesan berterusan penggunaan plastik.

Kajian oleh penyelidik telah mengesan mikroplastik dalam permukaan air laut di beberapa lokasi di kawasan perairan pantai dan hutan bakau di Malaysia dan Singapura. Satu kajian di Hutan Bakau Sementa di Kapar, Selangor mendapati saiz mikro busa polistirena dan kepingan plastik paling banyak dan menemui mikroplastik di dalam tanah pada kedalaman yang berbeza (Barasarathi et.al 2014). Pencerobohan mikroplastik ke dalam ekosistem akuatik sudah tentu memberikan kesan negatif di dalam rantaian makanan.

Di samping isu kesihatan alam sekitar, kerosakan ekonomi disebabkan oleh sisa plastik amat besar. Sampah plastik di wilayah Asia Pasifik membebankan industri pelancongan, perikanan dan perkapalan dengan kos $1.3 bilion setahun. Kajian menyarankan bahawa jumlah kerosakan ekonomi kepada ekosistem marin dunia disebabkan oleh plastik berjumlah sekurang-kurangnya $13 bilion setiap tahun.

Apakah penyelesaiannya? Kira-kira 50% plastik pengguna direka bentuk untuk digunakan sekali sahaja. Pengeluar mestilah mengambil tanggungjawab untuk kos kitar hayat sepenuhnya dan kesan produk dan pembungkusan mereka, dan mestilah direka bentuk semula dan membuat inovasi dengan menggunakan sistem dan bahan yang lebih selamat.

Bagi pengguna, pilihan terbaik ialah menggantikan produk plastik guna sekali dengan produk guna semula atau isi semula yang boleh menyediakan khidmat yang sama tanpa menggunakan sabarang bahan pakai buang sepenuhnya.

Sehubungan itu, SAM menyokong pengharaman beg plastik di seluruh negara dalam jangka masa setahun, seperti mana yang diumumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pada Mei 2018. Kami menggesa agar pengharaman ini diikuti dengan pengharaman produk pakai buang guna sekali lain dan mikroplastik.

Jika kita tidak berbuat sesuatu di peringkat dalam negara dan di dunia, maka ramalan bahawa akan terdapat lebih banyak plastik di lautan berbanding ikan menjelang 2050 akan menjadi realiti.

Dari Facebook Sahabat Alam Malaysia – SAM