SAM Nyatakan Kebimbangan Luluskan Kegiatan Kuari di HSK

Reading Time: 2 minutes

Pertubuhan pemelihara alam sekitar, Sahabat Alam Malaysia (SAM) hari ini menyatakan kebimbangan terhadap kemungkinan pihak berkuasa negeri memberi kelulusan kepada beberapa aktiviti pengambilan sumber semulajadi di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di daerah Manjung, Perak.

Aktiviti itu termasuk kegiatan kuari batu granit dan pengambilan tanah merah di dalam Hutan Simpan Segari Melintang (HS Segari Melintang).

Bantahan SAM ekoran terdapat permohonan baru untuk kegiatan kuari di Kompartmen 19, 20 dan 21 seluas kira-kira 122 hektar dan permohonan pengambilan tanah merah di sebahagian Kompartmen 54 seluas kira-kira 49 hektar.

Menurut SAM, kegiatan kuari sedia ada di kawasan itu boleh memberi impak terhadap ekosistem hutan dan kawasan semula jadi persisiran pantai.

“Kelulusan kegiatan kuari dalam HSK bercanggah dan tidak mematuhi ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-70 pada tahun 2014 iaitu semua negeri digesa mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelakkan sebarang kelulusan kegiatan perlombongan dan kuari dalam kawasan HSK,” menurut kenyataan yang dihantar kepada Independent.

Tambah kenyataan itu, selain menjejaskan ekosistem hutan dan bercanggah dengan ketetapan MTN, ia juga bertentangan dengan komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio, Brazil pada 1992 dan Persidangan Mengenai Perubahan Iklim Ke-15, Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Copenhagen, Denmark pada Disember
2009 iaitu mengekalkan 50% keluasan tanah negara dilitupi hutan.

Draf Rancangan Tempatan Daerah Manjung 2030 dan Jawatankuasa Siasatan Tempatan telah bersetuju untuk menolak permohonan aktiviti kuari yang baharu bagi mengekalkan kawasan hutan sedia ada

Apabila kegiatan kuari di HSK diluluskan, segala pokok bernilai akan ditebang habis dan litupan hutan akan dimusnahkan.

Pada 2016, SAM pernah mengemukakan cadangan terhadap Draf Rancangan Tempatan Daerah Manjung 2030 dan Jawatankuasa Siasatan Tempatan telah bersetuju untuk menolak permohonan aktiviti kuari yang baharu bagi mengekalkan kawasan hutan sedia ada.

SAM dalam pada itu mencadangkan pihak berkuasa negeri menyegerakan pewartaan Taman Negeri Segari Melintang dan mengemukakan permohonan pampasan kepada kerajaan persekutuan kerana pengurangan hasil negeri oleh sebab tidak membenarkan kegiatan eksploitasi sumber semulajadi di kawasan HSK.