Dua Kampung di Perlis Jalani PKPDB Selepas Peningkatan Kes Covid-19

Reading Time: < 1 minute

Dua buah kampung di Perlis iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) setelah terdapat peningkatan kes koronavirus.

Sebanyak lebih 900 penduduk kedua-dua kampung itu melalui proses saringan setelah negeri Perlis mencatat 11 kes baru koronavirus sejak 4 Ogos lalu.

PKPDB akan dilaksanakan selama 28 hari dan akan dirujuk semula jika terdapat penurunan kes di kawasan itu.

Sempadan keluar masuk di kedua-dua kampung tersebut ditutup dan dikawal oleh pihak polis. Hanya Kementerian Kesihatan sahaja yang boleh memberi kebenaran bertulis untuk masuk atau keluar dari sana.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengumumkan 3 buah sekolah ditutup iaitu SJKC Chin Hun, selain SK Kuala Sanglang dan SMK Kuala Sanglang yang sebelumnya telah diperintahkan untuk ditutup kerana dua pelajarnya adalah antara 11 ahli keluarga yang positif mendapat Covid-19.

“Sebanyak 876 pelajar dan 112 guru dari tiga sekolah itu terjejas oleh penutupan sementara,” tulisnya di media sosial, sambil menambah bahawa guru tersebut harus menjalani kuarantin wajib di rumah.

Sekolah ditutup selama dua minggu bermula dari 10 Ogos hingga 23 Ogos.