Sidang DUN Kecoh ADUN Pembangkang Lambat Kemuka Soalan Tambahan

Reading Time: < 1 minute

SIDANG DUN | Sidang Dewan Undangan Negeri Perak kecoh selepas Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menegur Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang kerana mengambil masa lama mengemukakan soalan tambahan.

ADUN Selinsing, Mohamad Noor Dawoo mengemukakan soalan tambahan mengenai masalah penanaman padi untuk dijawab pihak kerajaan.

Disebabkan penjelasan soalan lambat dikemukakan, Speaker kemudian membuat teguran sebelum terus melangkau soalan seterusnya tanpa soalan tambahan itu dijawab.

ADUN Pangkor, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir kemudiannya bangun membantah tindakan Koo Ham diikuti beberapa ADUN pembangkang yang lain.

Koo Ham menjelaskan masa 8 minit bagi setiap satu soalan lisan untuk dijawab dan dikemukakan soalan tambahan perlu dipatuhi semua ADUN bagi membolehkan lebih banyak soalan boleh dijawab oleh pihak kerajaan.

Kekecohan berlaku kira-kira 10 minit apabila ADUN pembangkang terus mempertikaikan keputusan Speaker DUN meneruskan soalan lain.

Kekecohan yang berlaku menyebabkan Koo Ham mengumumkan persidangan DUN berehat selama lima minit untuk meredakan ketegangan di dalam Dewan.

Persidangan kemudian bersambung semula dengan sesi soalan lisan berjalan lancar.