Jika anda pergi ke Gopeng atau Batu Gajah, tidak sah jika anda tak pergi melawat ke bangunan lama yang diberi nama Kellie’s Castle. Terletak kira-kira 7.7 km dari pekan Batu Gajah, atau 9 km dari RTC Gopeng, ia adalah sebuah bangunan klasik dengan ciri-ciri senibina Scotland. Diberi nama sempena nama pemiliknya, William Kellie Smith, berbagai versi cerita yang boleh kita dengar dari penduduk tempatan malah dari pemandu pelancung. Ada kisah mitos, ada kisah percintaan…dan berbagai lagi. Saya tak mahu cerita pasal itu. Jika anda berminat mendengar kisah mitos dan seram, anda boleh temui pihak yang berkenaan.
Apa yang saya nak tulis ini adalah pandangan saya sendiri berkenaan bangunan ini. Dari pemerhatian dengan membuat perbandingan dengan bangunan-bangunan klasik yang terdapat di Scotland yang masih wujud hingga hari ini, saya ada teori saya sendiri yang belum pernah diberitahu oleh orang lain termasuk pihak yang menjadi pengendali bangunan lama ini.
Pada pengamatan saya, apa yang anda lihat hari ini adalah kira-kira 30 hingga 50% dari pelan asal bangunan ini. Sebahagian besar lagi mungkin sudah roboh, rebah ke bumi atau ia belum sempat dibina. Memang mengikut teori pihak pengurusan, bangunan ini tidak pernah siap sepenuhnya. Jika ia belum siap, bagaimana ia pernah didiami oleh William Kellie dan keluarganya? Ia bercanggah dengan teori yang mereka cipta sendiri.
Jika anda pernah sampai ke sini lama dahulu, sebelum bangunan ini dibangunkan semula sebagai lokasi pelancungan, anda tentu pernah melihat kesan runtuhan dan puing-puing yang tertinggal di sebelah bangunan yang ada ini. Ia menunjukkan bahawa ada lagi struktur lain yang sudah tidak kelihatan.
Tidak Seperti Yang Anda Sangka
Jika anda masuk ke sini, anda perlu melalui sebuah jambatan sepanjang 20 meter sebelum mendaki sedikit untuk sampai ke bangunan klasik ini. Setelah melalui jambatan, anda akan melalui lantai diperbuat dari batu dan simen sepanjang 30 meter dan naik beberapa anak tangga. Sepanjang laluan, anda boleh melihat bangunan yang nampak teguh dan megah ini di sebelah kanan anda. Bagaimana jika saya kata apa yang anda lihat itu adalah bahagian belakang bangunan? Malah anda sedang melihat 50% sahaja bahagian belakang bangunan, manakala 50% lagi tidak wujud?
Benar. Inilah teori yang saya hendak beritahu anda. Berdasarkan senibina bangunan Scotland, ia biasanya berbentuk simetri. Bangunan yang ada sekarang tidak simetri. Di sebelah kanan ada menara berbentuk bulatan manakala sebelah kiri pula menara segi empat. Ia tidak selaras dan tiada titik tumpuan.
Apa yang boleh diperkatakan, menara segi empat itu sebenarnya ialah menara tengah. Sebenarnya terdapat separuh lagi bahagian di sebelah kiri dengan binaan kembar mengandungi tingkap-2 dan menara bulat seperti di bahagian kanan. Ia bersambung ke arah kanan sehingga ke menara segi empat. Bahagian tengah yang diletakkan bendera di bahagian bumbung itu bukanlah menara. Ia hanya bilik yang sengaja dibina dengan saiz yang lebih besar dan tersmebul keluar untuk memberi lebih ruang dan variasi saiz bilik-bilik yang ada.
Untuk lebih jelas apa yang saya maksudkan, sila lihat illustrasi pelan yang saya hasilkan. Klik untuk besarkan.
Jadi, jika apa yang anda lihat itu adalah bahagian belakang bangunan, anda tentu mahu tahu di mana bahagian depannya. Bahagian depan bangunan sebenarnya terletak lebih jauh dari itu. Ia terletak di bahagian selatan dan apa yang tinggal sekarang ialah lantai konkrit dan sebahagian dinding masih wujud hingga hari ini.
Kira-kira 110 meter atau 360 kaki di ‘belakang’ bangunan yang ada sekarang adalah pintu gerbang utamanya. Anda masih boleh temui tinggalan sebahagian runtuhan pintu gerbang batu ini jika anda meneroka jauh ke ‘belakang’ berhampiran ladang sawit.
Jika teori saya ini boleh diterima pakai, maka barulah ia menepati ciri-ciri binaan bangunan ‘manor’ atau rumah agam klasik ala-Scottish. Bahagian belakangnya adalah dinding simetri, menara segi empat di tengah, dengan dua menara bulat, satu di kanan (masih boleh dilihat dari jambatan) dan satu lagi di kiri (sudah tiada atau belum siap).
Untuk membuktikan dakwaan saya, perhatikan 2 bucu menara segi empat yang terdedah , terdapat seperti sambungan bata yang tidak selesai, kelihatan seolah-olah ada sambungan binaan lain di bahagian itu.
Gambar di atas menunjukkan titik sambungan bata yang tidak sekata seolah ada sambungan yang hendak dibuat menuju ke menara bulat sebelah kiri.
Bahagian yang menghadap jalanraya hari ini juga tidak mempunyai pintu masuk utama yang biasa bersaiz besar dengan ketinggian pintu tidak kurang 10 kaki. Yang ada cuma pntu kecil di sebelah menara segi empat yang terletak dalam kedudukan yang agak terlindung. Ia boleh dianggap bukan pintu utama. Ia adalah pintu belakang istana.
Mungkin ada yang akan tanya mengapa bina rumah membelakangi jalanraya? Sebenarnya menurut penduduk tempatan, jalanraya yang ada sekarang ini hanya wujud selepas zaman Kellie berlalu. Pada masa itu, jalan mungkin terletak berdekatan lokasi pintu gerbang utama yang saya maksudkan.
Jika anda perhatikan lagi, terdapat sebuah pondok baru yang dibina di sebelah kiri, kira-kira jarak pondok itu seperti ia terletak di atas tapak menara bulat yang satu lagi yang saya maksudkan Itulah sepatutnya sambungan sebenar untuk menara bulat di sebelah kiri. Ketinggian lantai pondok itu juga kelihatan mendatar sama rata dengan bangunan yang ada.
Maka, jika anda diberitahu bahawa bangunan yang masih tinggal hari ini adalah saiz bangunan yang sebenar, anda patut berfikir kembali. Jika ia saiz sebenar, adalah agak kecil untuk sebuah manor. Dan jika ia adalah 50% dari saiz sebenar, 50% lagi sudah roboh atau belum siap dibina, ia masuk akal.