‘Surat Sokongan’ Serlah Budaya Nepotisme Kerajaan PN

Reading Time: < 1 minute

Permintaan lantikan anak kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Akmal Hazlan bin Ikmal Hisham supaya anaknya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga Berhad melalui surat sokongan yang didedahkan baru-baru ini menyerlahkan kerajaan nepotisme ‘kerajaan Abah’, menurut Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Tambahnya, Pemuda AMANAH memandang serius dan mengutuk cadangan pelantikan melalui jalan tidak bermoral seperti itu.

Beliau berkata jika perkara ini benar-benar telah menjadi budaya dalam ‘Kerajaan Abah’, ianya suatu malapetaka besar ketika negara bakal menyambut ulangtahun ke-63 kemerdekaan, yang hakikatnya belum lagi benar-benar merdeka daripada rasuah dan nepotisme.

Ia bukan saja dipertikaikan, malah dikhuatiri bakal menyumbang kepada salah guna kuasa yang serius terhadap institusi kerajaan berasaskan perniagaan.

“Lebih memualkan, wujudnya minit pada surat berkenaan yang dipercayai daripada Menteri Pertahanan sendiri.

“Tulisan “Pengerusi LTAT, saya setuju” sangat jelas merupakan satu arahan. Dimanakah malu para pemimpin kerajaan ini?

“Kalau pun tidak segan dengan rakyat yang terang-terangan kamu khianati amanah mereka tempoh hari, simpanlah sedikit rasa malu itu dengan penjawat awam yang 8 jam sehari bekerja dengan kamu,” katanya.

Beliau berkata isu ini bukan saja isu terpencil malah sebelum ini Ketua Pemuda PPBM yang juga seorang Timbalan Menteri terang-0terang menyebut berkenaan penawaran surat sokongan untuk mendapatkan projek sebagai balasan jika dia diundi sebagai ketua pemuda.

“Kami mendesak agar ‘tukang minit’, Menteri Pertahanan serta Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, yang dikaitkan sebagai bapa kepada penama yang disebutkan dalam surat yang tular itu tampil memberikan penjelasan,” katanya.