Syarikat Hasilkan Penyedut Minuman Mesra Alam Diperbuat Dari Beras

Reading Time: < 1 minute

Apabila kesedaran orang ramai terhadap pentingnya memelihara alam sekitar semakin meningkat, kini muncul satu lagi pilihan untuk menggantikan straw plastik kepada sesuatu yang diperbuat dari bahan yang lebih mesra alam seperti straw dari beras yang boleh dimakan!

Straw boleh dimakan? Ya, sudah tentu. Ia diperbuat dari beras dihasilkan oleh sebuah syarikat di Pulau Pinang, menurut laporan The Star.

Straw yang diperbuat dari beras atau ubi kayu tidak ditambah dengan bahan lain dan ia tidak menjejaskan rasa minuman.

Menurut Pengarah IT Ricestraws, Andrew Loh, bahagian bawah ketika direndam di dalam minuman akan menjadikan ia seperti kanji manakala bahagian atas yang tidak terendam adalah rangup seperti cip.

Apa yang lebih penting, straw beras itu akan teruai secara semulajadi dalam masa 90 hari dan boleh diubah menjadi makanan haiwan atau baja.

“Straw boleh bertahan selama dua hingga lima jam dalam air panas dan kira-kira lima hingga 10 jam dalam air sejuk,” tambahnya.

Untuk mengurangkan kos dan menjadikan produk mereka lebih murah, syarikat itu menggunakan beras hancur (beras yang tidak sempurna, biasanya digunakan untuk membuat mihun). Mereka membuat straw dalam 3 saiz dan saiz terbesar adalah untuk penggemar boba di luar sana!

Syarikat itu juga menyebut bahawa mereka akan meneliti lebih banyak cawan, mangkuk, pengaduk, dan sebagainya menggunakan ramuan yang sama.