KUALA LUMPUR: Menteri Kabinet tidak boleh mengambil pendirian yang berbeza dengan Perdana Menteri dalam hal berkaitan dasar negara terutama setelah diputuskan oleh kerajaan melalui Kabinet.
Ia selari dengan Perkara 43(2)(b), Perlembagaan Persekutuan di mana memperuntukkan seseorang Menteri Kabinet dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat dari Perdana Menteri.
Bagi Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyudin Hassan, tindakan tersebut adalah suatu pelanggaran konsep tanggungjawab bersama (ministerial responsibility) malahan dianggap suatu keingkaran (insubordination).
Sehubungan dengan itu, PAS menggesa mana-mana Menteri Kabinet yang tidak sehaluan dengan Perdana Menteri terutama dalam perkara dasar negara dan telah diputuskan supaya perlu meletakkan jawatan.
“Ini kerana kesan tindakan itu akan menimbulkan suasana huru-hara dan ketidakstabilan negara dan kesannya akan terbeban kepada seluruh rakyat jelata,” katanya kepada Harakahdaily 16 Ogos.
PAS juga melihat sekiranya PM mendapati mana-mana Menteri Kabinet sering kali bertindak bercanggah dengan dasar yang hendak dibawa olehnya demi kepentingan negara dan rakyat.
Maka tambahnya, Perdana Menteri perlu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan perlantikan Menteri berkenaan berdasarkan peruntukan Perkara 43(5), Perlembagaan Persekutuan. –HARAKAHDAILY 16/8/2019