Tasik Cermin Belum Diiktiraf Sebagai Lokasi Pelancongan

Reading Time: < 1 minute

Tasik Cermin, yang terletak di kawasan batu kapur berdekatan Gunung Rapat telah dikenal pasti sebagai salah satu dari tiga lokasi berisiko tinggi di Perak oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak.

Dua lokasi lain ialah Kapal Korek Tanjung Tualang dan Tasik Banding.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata Tasik Cermin masih belum diiktiraf sebagai kawasan pelancongan oleh Kerajaan Negeri. Bagaimanapun, keindahan lanskap dan keunikan tasik itu menarik minat orang ramai untuk datang ke sana untuk membut penggambaran dan mengambil gambar.

“Orang ramai melawat tempat itu kerana promosi mulut ke mulut serta hebahan di media sosial,” katanya kepada pemberita selepas perarakan tahunan jabatan pada Selasa (11 Feb).

Tasik Cermin tersembunyi di sebalik deretan gunung batu kapur. Baru-baru ini beberapa penyelam melaporkan menemui kira-kira 10 gua bawah air di dasar tasik itu.

Beliau berkata, rakit yang terdapat di sana tidak selamat untuk digunakan. Malah tiada pihak yang menyediakan jaket keselamatan dan peralatan keselamatan lain.

Oleh sebab ia masih belum mendapat pengiktirafan rasmi sebagai destinasi pelancongan, maka tiada peralatan keselamatan di sana.

“Kami akan terus mengingatkan orang ramai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan (di sana).”

Azmi berkata selain tiga tempat itu, terdapat 16 lagi tempat tumpuan pelancong termasuk pantai, air terjun dan sungai, yang berada di bawah pemerhatian berterusan oleh jabatan, terutama semasa musim cuti.

Kredit foto: Malaysia Traveller