Tindakan Pimpinan PH Bidas MB di Media Sosial Tidak Matang, Kebudak-budakan – Zainol Fadzi

Reading Time: 3 minutes

IPOH | Setiausaha Bersatu Perak yang juga ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin hari ini menegur sikap beberapa pemimpin dalam komponen Pakatan Harapan yang cuba memberi tekanan kepada Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dalam membuat beberapa keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat.

Beliau melihat perkara ini seolah-olah cuba hendak mengganggu urusan pentadbiran kerajaan negeri.

“Ini satu perkara yang tidak baik kerana rakyat di luar sana melihat keupayaan Pakatan Harapan walaupun telah hampir setahun setenngah memimpin negeri, alhamdulillah rekod bertambah baik dari semasa ke semasa.

“Bukan saja rakyat melihat perkara ini malah mereka yang terlibat dalam bidang ekonomi, pembangunan mungkin akan menjejaskan perancagan mereka, begitu juga perancangan kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita di sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata bahawa sudah sampai masanya pemimpin Pakatan Harapan tidak lagi memberi tekanan kepada Menteri Besar apa yang cuba dilakukan oleh Ahmad Faizal dalam memimpin negeri ini, beliau telah membuat sebaik mungkin dalam banyak perkara dan beliau membuat pertimbangan untuk kepentingan rakyat apabila membuat sebarang keputusan.

“Sewajarnya pemimpin-2 komponen menggunakan platfrom yang tersedia … di politik kita ada platform politik bukan di media sosial untuk menyatakan ketidakpuasan.

“Ini satu tindakan kebudak-budakan, tidak matang dari segi politik.

“Memang tidak matang seorang pemimpin tertinggi di peringkat komponen boleh menegur YAB Menteri Besar di media sosial,” kata Zainol.

Beliau seterusnya berharap perkara ini tidak berlanjutan kerana ianya akan menjejaskan banyak perancangan MB dan rakan-2 Exco dalam mengurus tabir negeri ke arah yang lebih baik.

“Justeru mereka yang terlalu menitik beratkan jawatan di peringkat daerah, peringkat kampung dan sebagainya perlu melihat kepentingan pentabiran peringkat negeri.

“Kalau hilang pentabiran di peringkat negeri, ahli majlis pun tak ada, pengerusi MPKK pun tak ada, sama ada kampung trasdisional, kampung baru, kampung India, semuanya akan tak ada.

“Mereka nak yang mana ni? Kerajaan negeri ke nak ahli majlis?, soalnya.

Zainol menambah tindakan memberi tekanan terhadap MB adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan kerana sebagai Menteri Besar, beliau bukan Menteri Besar kepada sekumpulan pemimpin Pakatan Harapan saja, dia adalah Menteri Besar kepada rakyat negeri Perak.

“Banyak keputusan yang dibuat untuk kepentingan rakyat bukan semata-mata kepentingan politik sahaja,” katanya.

Untuk rekod, keputusan memilih Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan dibuat dalam mesyuarat Exco tetapi oleh kerana Menteri Besar kini berada di luar negara, maka tidak ada mesyuarat Exco dijalankan dan 2 daerah terpaksa ditangguh iaitu daerah Kerian dan Ipoh.

Zainol seterusnya menegaskan bahawa kalau hendak bercakap tentang ketidakpuasan hati, beliaulah sepatutnya orang yang menyatakan perkara itu kerana sebagai ADUN Sungai Manik, berkorban untuk membantu menubuhkan kerajaan, tidak ada seorangpun wakil dari Sungai Manik dilantik menjadi Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan. Tetapi beliau tidak melakukan perkara sedemikian kerana beliau akur kepada keputusan kerajaan negeri.

“Saya membantu menubuhkan kerajaan negeri, tidak ada seorang pun ‘orang saya’ di peringkat bahagian (Bersatu Sungai Manik) dilantik sebagai Ahli Majlis.

“Saya boleh mengamuk (tentang perkara ini) tapi untuk apa?

“Saya tak buat perkara seperti itu, tak buat kenyataan di media sosial, saya akur kepada keputusan yang dibuat pimpinan negeri,” katanya.

Beliau juga menberi contoh terdapat 90 Ketua Kampung di Parlimen Pasir Salak, wakil Bersatu hanya ada 9 orang sahaja.

“Walaupun saya ‘bagi kerajaan’, saya tak bising … saya akur saja,” katanya lagi.

Semalam, media tempatan melaporkan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal dalam kenyataannya telah mempersoalkan tindakan Ahmad Faizal yang masih belum melantik ahli majlis PBT daripada PKR walaupun senarai nama telah dihantar sejak dua bulan lalu. 

Farhash turut menegaskan sehingga kini isu pelantikan berkenaan masih belum diselesaikan dan tiada maklum balas diberikan oleh Ahmad Faizal. 

Zainol dalam pada itu memperingatkan rakan-rakan dalam pimpinan Pakatan Harapan supaya tidak lagi membaling batu sembunyi tangan kerana beliau tahu apa yang mereka cuba lakukan.

Menurutnya, tidak dinafikan semua parti tidak kira kerajaan atau pembangkang ada masalah tetapi masalah dalaman parti patut diselesaikan oleh parti masing-masing dan jangan cuba mengheret kerajaan negeri ke dalam kancah masalah parti komponen.