Bertanjak Sempena Hari Malaysia di Kellie’s Castle

Reading Time: < 1 minute

BATU GAJAH | Pengurusan kompleks pelancongan Kellie’s Castle telah menganjurkan program Santai Bertanjak Kellie’s Castle dengan jayanya pada 16 September 2019 (Isnin) di kompleks itu sempena sambutan Hari Malaysia.

Pelbagai acara untuk mengisi program itu turut diadakan antaranya fotografi bertanjak, demonstrasi tanjak memanah, paluan kompang bertanjak, persembahan muzik serrta tarian tradisional. Program ini bukan saja terbatas kepada tema bertanjak malah permainan tradisional seperti congkak dan gasing serta tulisan kaligrafi turut memberi kepelbagaian dan warna-warni acara.

Kumpulan seni silat dari Batu Gajah dan Taiping tidak ketinggalan membuat persembahan seni silat.

Seramai kira-kira 1,500 pengunjung telah mengunjungi program pada hari itu yang bermula dari 10 pagi dan berakhir pada pukul 6 petang.

Selain pelawat dari dalam, pelancong dari luar negara turut hadir menyerikan acara.