Tukar Exco Perlu Bincang Dengan PKR Pusat Bukan Pimpinan Negeri – MB

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Pertukaran Exco kerajaan negeri daripada PKR Perak perlu perbincangan pucuk pimpinan PKR Pusat dan bukan melalui pimpinan peringkat negeri.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, nama yang telah dicadangkan oleh pimpinan PKR Pusat itu kemudian akan diserahkan kepadanya untuk dibuat pertimbangan.

Katanya, beliau sentiasa terbuka untuk mendengar apa juga cadangan yang diberikan semua pihak.

“Kalau pun ada cadangan-cadangan pertukaran Exco, tentunya ia akan dibawa dalam perbincangan Majlis Pakatan Harapan … Jika ada perubahan yang hendak dibuat, mereka boleh cadangkan dan saya akan mempertimbangkan nama yang diberikan oleh pucuk pimpinan PKR sendiri.

“Semasa saya bertanding dalam Pakatan Harapan menggunakan logo PKR, saya juga menerima watikah daripadaPresiden PKR … Jadi untuk memilih calon dan pertimbangkan nama untuk dipersembahkan kepada baginda Sultan, ia perlu melalui pucuk pimpinan parti dan bukannya pimpinan negeri,” kata Ahmad Faizal.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Town Hall Maqasid Syariah di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis. Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

PKR Perak baru-baru ini mengakui telah mengadakan perbincangan bagi pertukaran seorang Exco kerajaan negeri daripada PKR.

Exco terbabit dikatakan bukan sahaja menunjukkan prestasi kurang memuaskan malah didakwa mengabaikan tanggungjawab kepada parti.

Sementara itu pada sidang media yang sama, Ahmad Faizal berkata, kerajaan Perak yakin kerajaan Persekutuan tidak menolak cadangan kerajaan negeri untuk membina sebuah lapangan terbang baharu di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri juga perlu akur bahawa kerajaan Persekutuan akan membuat pertimbangan sewajarnya sebelum sebarang keputusan diambil.

Menurut beliau, bagi kerajaan negeri, apa yang lebih penting buat masa ini adalah menaik taraf lapangan terbang sedia ada untuk menarik lebih banyak pesawat mendarat di Ipoh.