UMNO Perak Dedah Dua ‘Datuk’ Dapat Tanah 1000 Ekar

Reading Time: 2 minutes

IPOH: UMNO Perak mendedahkan dua lelaki bergelar Datuk sebagai pemilik sebuah syarikat bermodalkan RM2 yang mendapat tanah hutan sehingga 1000 ekar.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, lebih mengejutkan pemilik syarikat berkenaan tidak mempunyai pejabat operasi dan dikesan menggunakan alamat pejabat guaman di Taiping.

Katanya, kerajaan negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Sumber Hasil Hutan Negeri Perak pada 21 November 2018 telah meluluskan kawasan seluas 400 hektar kepada syarikat terbabit bagi tujuan projek pembangunan ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Bukit Kinta.

Sehubungan itu, katanya, UMNO Perak mendesak supaya kerajaan negeri menjawab beberapa persoalan yang menuntut penjelasan telus.

“Bagaimana sebuah syarikat bermodalkan RM2 boleh mendapat tanah hutan sehingga 1000 ekar, malah syarikat berkenaan tidak mempunyai pejabat operasi?

“Apa sudah jadi pemantauan dan penguatkuasaan yang sering dilaung-laungkan kerajaan negeri sehingga kawasan hutan Bukit Kledang yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Ipoh diceroboh secara terbuka?

“Adakah lagi syarikat-syarikat bermodalkan RM2 lain yang diberikan tanah-tanah kerajaan,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media khas di Bangunan UMNO Perak pada Selasa.

Saarani menegaskan UMNO Perak memandang serius pendedahan demi pendedahan berhubung pengurusan khazanah hutan di Perak yang seolah-olah kini menjadi bahan `dagangan politik’.

Menurut beliau, pencerobohan hutan secara berleluasa dan pemberian ribuan ekar tanah hutan simpan kepada syarikat-syarikat tertentu membuktikan “ada sesuatu yang tidak kena” sedang berlaku dalam kerajaan.

Saarani menambah, perkembangan ini amat menakutkan lebih-lebih lagi ia bukan sahaja didedahkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi juga oleh pemimpin Pakatan Harapan sendiri yang tentunya mempunyai akses maklumat dalam kerajaan.

“Perkembangan ini menimbulkan (persoalan) apa sudah jadi dengan janji kerajaan Pakatan Harapan Perak untuk memelihara khazanah alam sekitar seperti yang digariskan dalam manifesto pilihan raya mereka,” ujarnya.

Menurut Saarani lagi, sebelum ini PH berjanji melaksanakan tender terbuka yang kononnya lebih telus serta adil dalam pemberian kawasan pembalakan.

“Jika ini benar-benar dilaksanakan kerajaan negeri sepatutnya tidak perlu khuatir untuk mendedahkan senarai mereka yang diberikan kawasan balak,” katanya.

Menurut Saarani yang juga Adun Kota Tampan, dalam keghairahan pemimpin PH yang bertungkus-lumus  mencari kesalahan untuk mengaitkan kerajaan lama dengan amalan-amalan korup, kini mereka sendiri yang sedang melakukannya.

Katanya, susulan laporan yang sudah diajukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), UMNO Perak mahu supaya dakwaan yang serius ini disiasat secara telus.

Semalam Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak mendedahkan bagaimana sebuah syarikat “dua ringgit’’ baru lima bulan beroperasi tanpa sebarang profil dengan dua orang individu pemegang saham telah diberikan tanah seluas 400 hektar.

Ketua gabungan itu, Thomas Su Keong Siong mendakwa syarikat berkenaan telah diberikan tanah 400 hektar di dua kawasan iaitu Kledang Saiong dan Bukit Kinta untuk projek pembangunan ladang hutan dalam hutan simpan.

Beliau menyifatkan isu ini sebagai satu perkara yang tidak betul dan memerlukan campur tangan segara pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengesan salah laku dalam transaksi berkenaan.