Usia Tun Mahathir Dorong Semangat Kamaruddin Untuk Buka Kedai Gunting Rambut

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Usia bukan menjadi batu penghalang seorang warga emas, Encik Kamaruddin Ba, 75, untuk meneruskan kerjayanya sebagai tukang gunting rambut yang telah beliau tinggalkan pada penghujung era tahun 70-an lalu.

Cetusan semangat tinggi dan inspirasi kuat yang mendorong beliau meneruskan hasratnya itu ialah Perdana Menteri Kerajaan Era Baharu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed yang sudahpun berusia 93 tahun.

“Tun Dr Mahathir Mohamed merupakan idola saya kerana beliau seorang pemimpin yang bersemangat dan berjiwa besar…walaupun sudah mencapai usia 93 namun masih mampu menggalas tugas berat untuk memimpin negara.

“Kalau Tun Dr Mahathir mampu menggalas tugas dan tanggungjawab memimpin negara pada hari ini mengapa pula warga emas seperti saya yang berusia 75 tahun tidak dapat mengikut jejak langkah Tun Dr Mahathir.

“Oleh itu bagi saya faktor usia bukan halangan untuk seseorang bangkit semula melakukan apa jua pekerjaan yang telah mereka tinggalkan sebelum ini bagi meneruskan kesinambungan hidup

“Apa yang saya harapkan agar kerajaan negeri membantu saya memberikan ruang tempat di Silveritage dan bantuan membeli peralatan serta perkakas mengunting rambut,’’ Katanya kepada Independent.my pada Rabu.

Kamaruddin yang kini menetap di Kampung Lawan Kuda, Gopeng dan berpengalaman luas selama 48 tahun sebagai tukang gunting rambut sangat mengharapkan agar beliau diberi tempat untuk membuka kedai gunting rambut di Silveritage, Medan Gopeng memandangkan kawasan berkenaan menjadi kawasan tumpuan awam.

“Dahulu semasa era zaman 70-an saya pernah membuka kedai gunting rambut di Medan Kidd selepas mendapat kebenaran daripada pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

“Bayangkan waktu itu sebelum terminal bas ekspres dibina di Meru…Medan Kidd menjadi tumpuan ribuan pengunjung setiap hari yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres.

“Waktu itu saya beroleh pendapatan antara RM80 hingga RM100 sehari …. tapi terpaksa menutup perniagaan setelah Medan Kidd menjadi kawasan suram kerana tidak lagi menjadi kawasan perkhidmatan utama bas ekpress,’’ katanya.

Menceritakan kisah pengalaman hidupnya, bapa enam orang anak itu berkata, beliau memulakan karier sebagai tukang gunting rambut pada awal tahun 60-an.

“Waktu itu saya bekerja menimba pengalaman di sebuah kedai gunting rambut India di jeti jalan besar Kuala Kurau.

“Waktu itu usia saya 17 tahun dan terpaksa menggunakan tong sabun cap kapak untuk berdiri sambil memotong rambut pelanggan di kedai Jupiter milik majikan saya bernama Munusamy.

“Dua tahun selepas itu saya berhijrah ke Bukit Mertajam bekerja sebagai tukang gunting rambut di kedai milik majikan Melayu sebelum berpindah ke Teluk Intan.

“Selepas tiga tahun bekerja di kedai gunting rambut milik majikan India di King Street, Teluk Intan saya mengambil keputusan untuk mencari kerja di Tanjung Pagar Singapura.

“Di Singapura saya mendapat tawaran kerja sebagai time keeper di Kedutaan Malaysia-Singapura tetapi tidak lama apabila berlaku perpisahan Malaysia dengan Singapura,’’ katanya.

Kamaruddin yang berasal dari Kampung Parit Haji Manan, Kuala Kurau seterusnya memberitahu, setelah tamat kontrak di Singapura beliau mendapat tawaran bekerja sebagai jurulatih tukang gunting di Pusat Latihan Belia Bikit Sergam, Johor Bahru.

“Berbekal pengalaman yang ada, saya melatih lebih 200 belia menjadi tukang gunting rambut dan seingat saya ramai anak didik saya berjaya membuka perniagaan mereka sendiri sebagai pengunting rambut di sekitar negeri Johor,’’ katanya.