Walau Tanggung Hutang Pentadbiran Terdahulu, Masih Mampu Tarik 1.5 Bilion Ringgit Pelaburan

Reading Time: 2 minutes

Walaupun baru setahun jagung mentadbir negeri, dan terpaksa menanggung pelbagai kerosakan dan hutang yang ditinggalkan oleh pentadbiran terdahulu, kerajaan Pakatan Harapan negeri Perak masih mampu mara ke hadapan menzahirkan impian rakyat untuk melaksanakan agenda pembangunan negeri.

Demikian menurut Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dalam perutusan Sempena Setahun Malaysia Baharu di Kediaman Menteri Besar (Lama) di Ipoh malam tadi.

Beliau mendedahkan bahawa satu-persatu perjanjian yang merugikan kerajaan negeri telah dibuat semasa pentadbiran terdahulu dan lebih menyakitkan apabila mendapati natijah kerosakan yang ditinggalkan jauh lebih besar dari yang disangka.

“Ratusan juta ringgit dan harta milik kerajaan yang merupakan wang rakyat telah menjadi korban kepada kerakusan.

“Tetapi kita tiada pilihan … amanah tetap perlu ditunaikan dan alhamdulillah dalam keadaan itu kita telah mencapai suatu pencapaian yang menjadi azimat untuk terus mara ke depan menzahirkan impian rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para penjawat awam negeri dan persekutuan yang menunjukkan kesetiaan kepada ‘government of the day’ (kerajaan pada hari ini) dalam meneruskan agenda pembangunan negeri.

Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri telah berjaya menutup akaun kerajaan negeri pada 2018 dengan lebihan sebanyak RM50 juta berkat dari prinsip perbelanjaan berhemah yang diamalkan oleh pentadbiran kerajaan baharu.

Selain itu, beliau berkata, dalam tempoh 6 bulan mengambil alih pentadbiran negeri iaitu dari Julai hingga Disember 2018, Perak telah menerima jumlah pelaburan berjumlah RM1.5 bilion, lebih baik berbanding RM702 juta yang diterima bagi tempoh Januari hingga Jun 2018 semasa era pentadbiran sebelum ini.

“Kejayaan ini membawa makna yang besar kepada rakyat terutama kepada golongan muda kerana lebih 2 ribu peluang pekerjaan bakal diwujudkan melalui pelaburan yang telah diluluskan itu,” kata Ahmad Faizal.

Beliau turut memberitahu bahawa sebanyak RM1 bilion pelaburan telah diterima bagi suku pertama tahun 2019 iaitu antara Januari hingga April. Kerajaan negeri Perak juga akan berusaha menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi rakyat negeri Perak selepas ini.