Warga Emas Kecewa Sudah 10 Tahun Gagal Nikmati Bekalan Air Bersih

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Seorang warga emas, Jaafar Mohamad Isa, 75, menzahirkan rasa kecewa dan terkilan kerana sudah 10 tahun permohonan yang dibuatnya untuk mendapatkan bekalan air bersih daripada pihak Lembaga Air Perak (LAP) masih belum dapat dinikmati sehingga ke hari ini.

Katanya, selama ketiadaan bekalan air bersih beliau terpaksa membeli air mineral selain mendapatkan bekalan air bukit Simpang Pulai yang diisi dalam 40 botol untuk kegunaan tiga hari buat keluarganya.

Menurut Jaafar, beliau mula memohon mendapatkan bekalan air bersih kepada LAP sejak tahun 2009 setelah menemui pihak pejabat tanah, ketua kampung dan pejabat penghulu.

“Apa yang menyedihkan terlalu banyak sangat karenah birokrasi yang terpaksa saya tempuhi lebih-lebih lagi pihak pejabat tanah Kinta.

“Tanah yang saya tinggal sekarang ini tanah milik arwah datuk saya, Kulup Leman Ngah Ibrahim kerana saya ada buktinya.” kata Jaafar yang menetap di nombor 27, Jalan Tiong, Kampung Pengkalan Pegoh, Lahat.

Menurut Jaafar lagi, selain menggunakan air mineral dan air bukit, beliau juga terpaksa menggunakan sebuah telaga lama tinggalan datuknya untuk mendapatkan bekalan air sampingan buat keluarganya.

“Saya terpaksa menggunakan pam bagi mendapatkan air daripada telaga ini yang hanya sesuai untuk kegunaan tandas … manakala air bukit digunakan bagi membasuh pakaian dan minuman,” katanya kepada Independent.my pada Khamis.

Jaafar turut menyuarakan kebimbangnya kerana anak perempuannya bakal melansungkan perkahwinan dalam masa tiga bulan ini kerana ketiadaan bekalan air bersih.

“Sebelum ini saya telah membangkitkan perkara ini kepada Ketua Kampung  dan pejabat Penghulu dimana mereka menyokong permohonan saya untuk mendapatkan bekalan air bersih.

“Namun apa yang mengecewakan pihak terbabit masih diam membisu malah langsung tidak mahu mengambil peduli masalah serius yang sedang saya hadapi ketika ini,” katanya.

Menurut Jaafar, hanya kerana teramat kecewa beliau telah memprotes secara senyap apabila meminta semua sembilan ahli keluarganya supaya menolak UMNO dan Barisan Nasional dengan  memberikan undi kepada Pakatan Harapan pada PRU ke 14 lalu.

“Saya mengambil tindakan ini kerana kerajaan terdahulu langsung tidak prihatin terhadap masalah besar yang saya hadapi … fikirlah sudah sekian lama kita Merdeka namun saya dan keluarga langsung tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Tiada guna pemimpin Melayu kita sebelum ini melaungkan `hidup Melayu’ tapi hakikat sebenarnya masih ada orang Melayu seperti saya yang hidup merempat di bumi sendiri kerana tidak mendapat pembelaan daripada pemimpin sendiri semasa mereka sedang berkuasa,” kata Jaafar yang kini sudah menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Sehubungan itu Jaafar mengharapkan kerajaan baharu PH Perak pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dapat membantu mendapat bekalan air dengan segera untuk kegunaan keluarganya.

“Permintaan ikhlas saya ini atas dasar kemanusiaan dan rakyat negeri Perak yang amat memerlukan pertolongan daripada kerajaan baharu yang memerintah,” ujarnya.