Wisma Putra Bantah AS Senaraikan Malaysia Dalam Petunjuk ‘K’

Reading Time: < 1 minute

Kementerian Luar Negeri hari ini melalui Wisma Putra mengeluarkan kenyataan memprotes keputusan Amerika Syarikat mengeluarkan nasihat perjalanan yang menyenaraikan Malaysia sebagai salah sebuah negara dalam petunjuk ‘K’ (kidnapping) yang baru diperkenalkan yang berpotensi berlaku kejadian culik dan tebusan di kawasan tertentu di Sabah.

Menurut kenyataan oleh Kementerian Luar itu, nasihat perjalanan oleh Jabatan Negara Amerika itu tidak menggambarkan keadaan sebenar terutama situasi keselamatan di bahagian Timur Sabah kekal selamat dan terkawal untuk para pelancong.

Jumlah ketibaan pelancong ke Sabah juga bertambah sebanyak 5.5 peratus iaitu mencecah 3.87 juta tahun lalu. Kenyataan itu selanjutnya menyatakan insiden penculikan telah berkurangan secara ketara kepada hampir sifar. Timur Sabah terus menjadi tumpuan para penyelam skuba kelas dunia. Pencapaian ini adalah hasil dari langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan Malaysia. Ini termasuk meningkatkan bilangan rondaan, kerjasama erat keselamatan dengan negara jiran dan penempatan strategik aset-aset keseamatan untuk menjamin keselamatan kawasan tersebut, menurut kenyataan itu.

Dengan itu, Malaysia menggesa Amerika lebih objektif dalam penilaian mereka dan mengeluarkan Malaysia dari senarai ‘K’.

Duta Amerika akan dipanggil untuk memberikan penjelasan mengenai nasihat perjalanan terbaru itu.