ULASAN | Kekalahan Pakatan Harapan di Rantau memang sudah dijangka kerana ia merupakan kerusi tradisi Datuk Seri Mohamad Hassan (Tok Mat). Namun percaturan meletak calon untuk menandingi Tok Mat telah mendedahkan kelemahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri kerana gagal memilih calon yang mampu mengalahkan Tok Mat atau sekurang-kurangnya memberi cabaran sengit.
Seperti yang Kulup Lembang pernah bercerita dahulu, corak pengundian masih tidak dapat lari daripada pengaruh etnik.
Tok Mat memperolehi 10,379 undi – hampir mewakili 100 peratus undi Melayu di kawasan itu. Ke mana pergi penyokong dan ahli parti PKR berbangsa Melayu dalam hal ini? Adakah merka tidak turun mengundi atau PKR tidak mempunyai anggota parti Melayu di DUN Rantau? Mustahil.
Kulup Lembang percaya antara faktor utama kemenangan BN ialah DUN tersebut merupakan kubu kuat BN sejak sekian lama, ditambah pula ia ditandingi oleh Timbalan Presiden UMNO, Tok Mat, pemimpin yang disayangi dan disenangi di kawasannya.
Faktor kedua yang mendorong kepada kekalahan PH ialah calon PH sendiri dari PKR. Sebelum berlangsung pilihanraya kecil di sini, terdapat protes dari anggota parti mereka sendiri yang menuntut bahawa seseorang yang lain lebih layak menjadi calon berbanding Dr. Streram. Selain itu terdapat 10 nama disenarai pendek untuk dijadikan calon Rantau. Akhirnya, PH memilih calon yang sama pada PRU-14 yang lalu.
Faktor ketiga, kembali kepada faktor perkauman. DUN Rantau mempunyai 55% jumlah pengundi Melayu dan kaum India hanya 27%, tetapi PKR meletakkan calon dari kaum India. Ini kesalahan yang patut dibebankan ke bahu Anwar. Beliau harus bertanggungjawab terhadap kekalahan PH di Rantau.
Lihat bagaimana BN meletakkan calon dari kaum Orang Asli dalam PRK Cameron Highland yang pada asalnya adalah kerusi yang dipegang oleh MIC. Strategi BN memang menjadi menandakan mereka ada membuat homework atau kajiselidik tentang sentimen dan isu tempatan yang berkait dengan Cameorn Highland itu sendiri. Anwar pula lebih mengutamakan nilai-nilai sentimental kononnya Dr. Streram telah berjasa kepada parti kerana berjaya membawa kepada pilihanraya semula diadakan – seolah-olah parti telah terhutang budi kepada Dr. Streram.
“Dr. Streram dinafikan hak semasa PRU-14 lalu sehingga membawa kepada keputusan di mahkamah dan PRK perlu diadakan semula.
“Maka, itu juga menjadi faktor kenapa beliau dipilih di kerusi yang mempunyai majoriti 27 peratus pengundi India itu,” katanya seperti yang dipetik dari laporan sebuah akhbar tempatan sebaik beliau mengumumkan Dr. Streram sebagai calon Pakatan Harapan pada 11 Mac lalu.
Cukuplah setakat ini ulasan pantas dan ringkas dari Kulup.
Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat rasmi Independent.