Syarikat Dagangan Beras Tuntut Keadilan Minta Bank Negara Campur Tangan

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Kira-kira 800 pekerja sebuah syarikat perdagangan beras, Prolink Marketing Sdn Bhd bakal berdepan masa depan gelap apabila syarikat berkenaan tidak mampu membayar tunggakan gaji sejak Mac tahun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan syarikat berkenan, Dr C Kuganeswaran berkata, masalah berpunca apabila syarikatnya berdepan masalah kewangan fasiliti bank dengan sebuah bank antarabangsa.

“Syarikat terpaksa menanggung kerugian keseluruhan kira-kira RM250 juta.

“Sebelum ini pihak syarikat telah membawa perkara ini  sebanyak empat kali ke Bank Negara, dua kali ke Kementerian Kewangan serta dua laporan polis yang dibuat terhadap bank berkenaan,’’ katanya kepada pemberita di Ipoh pada Sabtu.

Beliau berkata, syarikat meminta pihak bank bertanggungjawab dan tidak menindas syarikat yang sudah beroperasi lebih 20 tahun.

“Kami menuntut keadilan agar perkara ini dapat diselesaikan oleh Bank Negara.

“Kita mengharapkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat memandang serius perkara ini kerana membabitkan syarikat dan pekerja tempatan,’’ katanya.