100 Hari Tiada Tindakan

Reading Time: < 1 minute

“Hari ini genap 100 hari seorang Menteri yang pulang dari luar negara bebas dari menjalani kuarantin. Arahan kuarantin 14 hari dan pemakaian gelang pink juga tidak dipatuhi sejak 100 hari lepas.

“Tidak ada denda. Jauh sekali penjara. 100 hari bebas dan mungkin tidak akan ada hukuman yang akan dikenakan.

Demikian hantaran yang dibuat oleh ahli parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melalui akaun media sosialnya pagi ini.

Beliau yang juga bekas menteri belia dan sukan turut merujuk kepada dua insiden, pertama, seorang pelajar yang didenda RM1,000 kerana menurunkan pelitup mukanya sekejap sahaja dan wanita warga emas yang memakai gelang pink didenda RM8,000 dan penjara.

“Tetapi, untuk seorang Menteri, kita boleh tunggu sehingga 100 hari dan masih belum ada apa-apa tindakan yang dikenakan kepada mereka.

“Saya harap keadilan dan kesaksamaan undang-undang di Malaysia akan dapat disegerakan dengan komitmen oleh semua pihak berkuasa, “tulisnya.

Tambahnya, Covid-19 tidak mengenal menteri atau rakyat dan kluster boleh disebarkan oleh mereka yang positif di mana-mana sahaja.

Beliau menzahirkan rasa kecewa kerana sudah 100 hari masih tiada apa-apa tindakan dikenakan terhadap menteri yang telah melanggar SOP.