IPOH | Kegiatan pembakaran sampah di tapak pelupusan haram dikesan dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab berhampiran Taman Rapat Permai sejak tengah malam tadi hingga ke pagi ini.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Pekan Baru bersama Bomba dan Penyelamat Menglembu telah dikejarkan ke lokasi kejadian pada malam tadi dan pagi ini sebanyak 2 unit trak pemadam kebakaran dan 1 unit trak tangki air telah dihantar untuk memadamkan kebakaran yang dikatakan telah merebak sehingga menghampiri kawasan kediaman penduduk.
Jurucakap Jabatan Alam Sekitar yang telah dihubungi pagi ini berkata pihaknya sedang menyiasat dan mencari tuan punya tanah tapak lombong berkenaan dan akan menghubungi Pejabat Tanah dan Galian serta beberapa agensi berkaitan untuk mengesan dalang di sebalik aktiviti pembakaran sampah di tapak pelupusan haram berkenaan.
Tinjauan wartawan Independent ke lokasi kejadian mendapati tapak pelupusan itu sedang terbakar dan merebak ke kawasan semak berhampiran kediaman penduduk Taman Rapat Permai manakala pihak yang bertanggungjawab sudah melarikan diri walaupun sebelum ini dikatakan mereka sentiasa berada di situ mengutip bayaran terhadap sesiapa yang mahu membuang sampah di kawasan itu.
Malah sampah-sampah pepejal yang dibuang di situ bukannya sisa buangan domestik sebaliknya adalah sisa-sisa industri seperti perabut, tilam lama, berguni-guni serbuk bahan elektronik yang telah dikisar halus, tong-tong cat, bergulung-gulung pita pelekat, plastik dan berbagai lagi bahan buangan berjadual yang tidak sepatutnya dibuang di situ.
Pengerusi RT Taman Rapat Permai, Mohd Razali bin Abdul Hamid berkata aktiviti pembakaran sampah ini telah berlaku sejak bertahun-tahun lamanya tetapi ini kali ketiga pada tahun ini dan merupakan pembakaran terbesar sejak sekian lama.
Katanya lagi, kawasan ini asalnya ialah bekas lombong dan ia bakal dijadikan kawasan perumahan tetapi tidak dapat diketahui siapa syarikat pemaju sebenar.
Kebakaran mula dikesan malam semalam dan penduduk telah memanggil pasukan bomba dan penyelamat untuk memadam kebakaran bermula pada pukul 3 pagi tadi sehingga pukul 5 pagi ini.
Ahmad Razali berharap pihak berkuasa dapat mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam aktiviti pembakaran sampah haram ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya agar ia tidak berlaku lagi di masa hadapan.