Subang Jaya Diisytihar Bandaraya

Reading Time: < 1 minute

Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) diisytiharkan menjadi Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkuat kuasa hari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pengisytiharan tersebut dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau berkata selaras dengan Subseksyen 10 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976, Yang Dipertua MPSJ Noraini Roslan dilantik sebagai Datuk Bandar Subang Jaya berkuat kuasa pada tarikh sama.

“Kerajaan Negeri Selangor merafak sembah takzim dan menjunjung kasih Sultan Selangor atas perkenan yang telah diberikan.

“Semoga dengan pemasyhuran MBSJ ini, pembangunan mampan Subang Jaya dan lokaliti sekitarnya akan terus dimantapkan melalui sistem penyampaian perkhidmatan berkelas dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dengan pengisytiharan MBSJ, Selangor kini mempunyai tiga majlis bandar raya termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam, yang diisytihar pada 10 Okt 2000 dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 20 Jun 2006.

– BERNAMA