117 Kes Koronavirus Terbaru Direkod Hari Ini

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR | Sebanyak 117 kes baru koronavirus (Covid-19) direkodkan oleh Kementerian Kesihatan hari ini membawa kepada jumlah 790 kes keseluruhan di negara ini.

Ini menjadikan Malaysia tergolong dalam 18 negara tertinggi dari 155 negara yang dilanda wabak selepas Jepun yang merekodkan sebanyak 882 kes.

Berdasarkan siasatan awal, 80 daripada 117 kes baru yang dilaporkan itu dikaitkan dengan perhimpunan tabligh di Masjid Jamek, Sri Petaling.

Secara keseluruhannya, 15 kes dirawat di unit rawatan intensif dan memerlukan alat ventilator.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba mengingatkan orang ramai bahawa perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa pada hari Rabu dan mereka yang melakukan kesalahan itu akan dikenakan denda tidak lebih daripada RM1,000 atau dipenjarakan tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya.

Ini adalah berdasarkan Warta Kerajaan Persekutuan mengenai Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Terjejas) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang diterbitkan pada hari Rabu (18 Mac).