12 Ahli Gabungan Lulus Undi Tidak Percaya Terhadap Majlis Eksekutif MAKAF

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Majlis Eksekutif Persekutuan Karate-Do Malaysia (MAKAF) menerima tamparan hebat apabila dua belas daripada 22 ahli gabungan sebulat suara meluluskan undi tidak percaya terhadap Majlis Eksekutif badan itu hari ini.

Seramai 58 anggota mewakili dua belas gabungan berkenaan mengambil tindakan drastik itu pada Mesyuarat Agung Luar Biasa MAKAF yang berlangsung di Tower Regency Hotel, Ipoh pada Ahad.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Datuk Clement Soo. Hadir sama Presiden Karate-Do Putrajaya, Thiagu Ponniyah dan Konsultan Sukan Karate, Datuk Lim Chee Jin Patrick.

Menurut Datuk Clement Soo, keputusan melaksanakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) ini berdasarkan peruntukan perlembagaan MAKAF dimana sekiranya majoriti ahli telah hilang kepercayaan terhadap pentadbiran MAKAF boleh mendesak EGM dilaksanakan.

Menurut beliau, keputusan melaksanakan EGM adalah jalan terakhir bagi ahli-ahli gabungan MAKAF disebabkan Majlis Eksekutif telah menidakkan hak ahli yang berkehendakkan penjelasan berhubung perkara-perkara yang berbangkit sejak dari bulan Februari lalu melalui requisition yang telah dikemukakan kepada Majlis Eksekutif.

Katanya, ini kerana pemilihan Majlis Eksekutif adalah berdasarkan sokongan daripada ahli-ahli gabungan dan pembentukan MAKAF adalah berdasarkan sokongan ahli-ahli gabungan.

Sementara itu Thiagu ketika ditanya pemberita berkata, antara beberapa penyebab sehingga usul undi tidak percaya ini diambil kononnya berlaku penyalahgunaan dana untuk kepentingan peribadi oleh anggota majlis seperti melancong ke luar negara dan tidak menjurus kepada kepentingan pentadbiran pembangunan MAKAF.

Sehubungan itu kata beliau, status pentadbir MAKAF akan diambil alih oleh jawatankuasa Ad-Hoc yang telah dipersetujui  oleh dua belas ahli gabungan MAKAF sehingga mesyuarat agung pemilihan Majlis Eksekutif  yang baru dilaksanakan dalam tempoh 30 hari seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan MAKAF.