Trafik perlahan di beberapa lebuh raya utama pagi ini

Trafik perlahan di beberapa lebuh raya utama pagi ini

Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilapor perlahan pagi ini apabila orang ramai kembali ke ibu kota selepas bercuti panjang sempena perayaan Aidilfitri dan sebahagiannya mula bekerja hari ini.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi berkata aliran trafik masih tinggi dan bergerak perlahan di Bukit Beruntung menuju ke Rawang Selatan.

Aliran trafik juga dilapor tinggi dan bergerak perlahan di kawasan mendaki Bukit Berapit dari arah Changkat Jering menuju ke Kuala Kangsar.

Di bahagian di selatan, aliran trafik tinggi dan sesak di CIQ Bangunan Sultan Iskandar dari Woodlands, Singapura menuju ke Malaysia.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik tinggi dan bergerak perlahan di Bukit Tinggi menghala ke Kuala Lumpur dan Sungai Buaya menuju ke Rawang.

Selain itu, kenderaan bergerak perlahan dari kawasan mendaki R&R Gua Tempurung Selatan menghala ke Tapah susulan kemalangan di KM321.8 arah selatan.

LLM menjangkakan trafik pada sebelah petang akan kembali lancar dan terkawal.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

– Bernama

Kongsi Artikel Ini

Facebook Comments