Video Tular: KEADILAN Tolak Politik Kotor

Reading Time: < 1 minute

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) hari ini mengeluarkan satu kenyataan akhbar menolak permainan politik kotor ekoran penularan video hubungan seks sejenis antara seorang lelaki dengan seseorang yang didakwa sebagai seorang menteri kabinet.

Menurut Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Keadilan menggesa penyebaran video yang sedang ditularkan dihentikan segera.

Beliau menambah, gaya dan cara berpolitik sebegini tidak membawa sebarang keuntungan kepada masyarakat dan negara.

KEADILAN sebagai sebuah parti komponen Pakatan Harapan akan terus fokus membantu kerajaan Persekutuan merangka dasar dan program untuk rakyat.

Semalam, media sosial heboh memperkatakan tentang penularan rakaman video di dalam beberapa group Whatsapp yang memaparkan hubungan seks sejenis dua lelaki di atas ranjang yang didakwa melibatkan seorang menteri kabinet.

Hari ini pula tersebar video pengakuan ‘bersumpah’ seorang individu yang bernama Haziq Aziz yang mengakui ialah individu di dalam video tersebut. Beliau mendakwa rakaman video tersebut yang dirakamkan pada 11 Mei 2019 semasa Pilihan Raya Kecil Sandakan telah diambil tanpa kebenarannya.

Dalam video pengakuan itu, beliau menggesa SPRM menyiasat lelaki yang bersamanya di dalam video itu atas tuduhan korupsi kerana mendakwa lelaki itu tidak layak menjadi seorang pemimpin.