217 Kes Baru Koronavirus & 3 Kematian Hari Ini

Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA | Sebanyak 217 kes baru koronavirus dan 3 kematian dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes 3,333.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hari ini berkata 60 orang telah sembuh dan didiscaj.

Tiga kematian itu melibatkan:

Kes kematian ke-51 (kes ke-2561) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 84 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 12 Mac 2020 dan kemudian ke Institut Jantung Negara. Beliau disahkan meninggal dunia pada 2 April 2020 jam 1.07 tengah hari.

Kes kematian ke-52 (kes ke-2122) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 52 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan pada 18 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 7.55 pagi.

Kes kematian ke-53 (kes ke-2034) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 73 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak pada 24 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 9.30 pagi.

Noor Hisham turut menyatakan bahawa setakat tengah hari semalam, terdapat 138 anggota kesihatan KKM dikesan positif Covid-19.

Namun tiada kes yang berpunca daripada jangkitan kerana pengendalian pesakit-pesakit Covid-19.