Kerajaan Beri Kebenaran NGO Agihkan Makanan Kepada Golongan Terjejas

Reading Time: < 1 minute

Kredit foto MRA Perak

KUALA LUMPUR | Kerajaan hari ini memberi kebenaran semula kepada NGO mengedarkan bekalana makanan dan barangan keperluan asas kepada komuniti sasaran semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan syarat mereka mesti mematuhi beberapa garis panduan yang ditentukan.

Antaranya hanya dua anggota NGO dibenarkan untuk mengedarkan barangan dan seorang anggota Rela atau Pertahanan Awam akan mengiringi mereka.

Anggota NGO juga mesti memakai topeng dan sarung tangan sepanjang masa serta mengekalkan jarak sosial.

“Kementerian menghargai niat NGO untuk memastikan makanan dan barangan lain diagihkan kepada orang-orang ini,” kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun dalam satu kenyataan.

Minggu lepas, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan NGO mengedarkan bantuan kepada golongan sasar yang terjejas oleh PKP sebaliknya mereka perlu serahkan barangan tersebut kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk diedarkan. Ini adalah berdasarkan nasihat dari Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata mereka tidak pasti sama ada orang yang menerima sumbangan bantuan itu telah dijangkiti virus lalu menyebarkan kepada anggota NGO.