500 Ribu Dijangka Kunjungi Agrofest Perak 2019

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Kerajaan negeri Perak melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan menganjurkan program Agrofest 2019 di RTC Gopeng pada 26 September ini.

Program terbesar yang diadakan secara dwi-tahunan itu akan berlangsung di perkarangan kompleks itu akan mula dibuka pada jam 10 pagi sehingga 10 malam selama 4 hari. Perasmian akan diadakan pada Sabtu, 28 September.

Demikian menurut kenyataan oleh Exco Pertanian, Perladangan dan Penternakan Negeri Perak, YB Yunus Jamhari.

Tema ‘Kelestarian Makanan Jaminan Masa Depan’ dipilih untuk program kali ini bertepatan dengan hala tuju kerajaan negeri yang mahu meminimakan kebergantungan kepada makanan import. Tema ini juga selari dengan polisi kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang sedang memperkenalkan dasar Agro Makanan negara,” kata Yunus dalam sidang media di Bangunan Darul Ridzuan hari ini.

Program ini mendapat kerjasama dan penglibatan langsung dari pelbagai agensi kerajaan, antaranya Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, FAMA, MARDI, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM). Turut memberi sokongan ialah Tourism Perak,

Antara pengisian program termasuk pamneran serta jualan hasil tani, persembahan dan demonstrasi bagi memberi peluang kepada usahawan tani untuk mengetengahkan produk mereka.

“Pengunjung juga akan diberikan maklumat dan pendedahan berkenaan sektor yang bukan saja penting kepada ekonomi negara malah mampu menjadi kerjaya utama selain dari sektor perkhidmatan dan perindustrian,” katanya.

Beliau selaku Exco berkaitan berkata, beliau amat mengalu-alukan kehaidran orang ramai dari seluruh negeri Perak ke program tersebut kerana Agrofest ini menjanjikan pelbagai pameran serta aktiviti menarik untuk pengunjung.

Beliau mensasarkan seramai 500 ribu orang termasuk mereka yang menggunakan lebuhraya berhampiran akan singgah ke Agrofest yang berlangsung selama empat hari itu.

Info lanjut berkenaan Agrofest 2019 ini boleh didapati di media sosial terutama di Facebook Agrofest Perak 2019 dan akan dikemaskini dari semasa ke semasa.