Kerajaan Negeri Anjur Seminar Rancakkan Industri Pelancongan

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Kerajaan negeri Perak melalui Tourism Perak dengan kerjasama Kementerian Pelancongan , Seni dan Budaya merancang untuk mengadakan seminar yng melibatkan industri pelancongan pada 6hb. Julai ini di Hotel Syeun, Ipoh bermula pada pukul 8.30 pagi 2.30 petang.

Perkara demikian diumumkan oleh Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing dalam sidang media pada pagi ini di Ipoh.

Seminar yang akan melibatkan penggiat industri pelancongan negeri itu bertujuan untuk mendekatkan mereka dengan agensi-agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan sektor pelancongan.

Ini merupakan salah satu inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri bagi membantu penggiat industri pelancongan memajukan industri pelancongan negeri Perak.

“Sebenarnya program ini bertujuan untuk membantu usahawan dalam bidang pelancongan, kesenian dan kebudayaan, atau untuk orang awam yang minat menceburkan diri dalam bidang ini.

“Pentadbiran kerajaan negeri sedia maklum bahawa ada ramai lagi yang berminat untuk merancakkan industri pelancongan di negeri Perak, cuma ada di kalangan mereka kurang pengetahuan, kekurangan dana dan kepakaran.

“Itulah sebab kita menjalankan seminar ini untuk melibatkan agensi kerajaan persekutuan dan agensi kerajaan negeri atau jabatan yang berkenaan untuk menyalurkan maklumat kepada mereka yang sedang menjalankan perniagaan dalam bidang ini ataupun yang berminat menceburkan diri dalam bidang ini,” kata Tan.

Antara agensi kerajaan yang terlibat ialah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Tourism Malaysia, North Corridor Economic Region (NCER), TEKUN, MDeC, Yayasan Perak dan Tourism Perak. SME Bank sebagai institusi kewangan turut terlibat untuk menyediakan maklumat serta bentuk bantuan yang boleh disalurkan bagi membantu usahawan terlibat.

Selain agensi kerajaan, beberapa pihak swasta juga tidak ketinggalan terlibat dalam seminar ini. Antaranya Malaysia Inbound Tour Association (MITA) dan operator penerbangan seperti SKS Airways dan Scanda Airways yang akan mengadakan laluan penerbangan secara terus dari Guongzhou ke Ipoh.

Operator penerbangan yang terlibat akan menyediakan taklimat berkaitan kadar tambang dan jadual penerbangan serta maklumat pemasaran yang bakal dijalankan bersama pemain industri pelancongan di negeri ini.

“Dengan ini saya nampak kita akan dapat menjana segala kekuatan (produk) yang ada di negeri Perak kerana saya lihat ramai yang tidak banyak fokus kepada inbound tourism (pelancong asing yang melancong ke dalam negeri).

“Untuk menggalakkan lebih banyak pemain industri menjalankan inbound tourism, kita harus membantu usahawan yang ada tak kira sektor penginapan, industri makanan, kraftangan, pengangkutan dan sebagainya,” menurut beliau.