SUNGKAI | Lawatan turun padang Penyelaras Hindraf Parlimen Tanjung Malim, P. Navaneeth ke rumah orang asli menderita penyakit kanser, Liha Yok Sarau baru-baru ini memberi kelegaan kepada keluarganya.
Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah situasi yang dihadapi oleh Liha, 38, pesakit kanser payudara tahap empat, yang juga dari suku kaum Orang Asli di Kampung Orang Asli Sg. Tisong.
Rumahnya yang diperbuat daripada buluh juga tidak dilengkapi dengan kemudahan air dan elektrik, menyukarkan lagi keadaannya yang sememangnya tenat dan memerlukan penjagaan rapi.
“Dia tidak mendapat apa-apa bantuan daripada mana-mana pihak, tiada saudara mara, mempunyai seorang anak lelaki berumur 5 tahun dan anak perempuan, 16 tahun, tetapi sudah berkahwin pada usia muda.
“Keadaan pesakit memang tenat sehingga memakai lampin pakai buang, selepas pihak kami (Hindraf) mendapat tahu tentang kes ini, mereka turun padang dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Ujarnya lagi, pihak Hospital Slim River akan datang dengan ambulans sebulan sekali ke sini, khusus membawa pesakit ke hospital seterusnya menghantarnya pulang.
Mengulas tentang kehidupan dan nasib orang asli di negara ini, beliau berkata Perlembagaan Malaysia sememangnya mengiktiraf dan mengangkat martabat serta membela hak Orang Asli.
“Kedudukan istimewa masyarakat Orang Asli diiktiraf Mahkamah Tinggi dan termaktub di bawah Perkara 8(5)(c) Perlembagaan Persekutuan.
“Ia menyebut Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab melindungi masyarakat pribumi ini kerana kebajikan mereka terletak di bawah tanggungjawab dan kuasa kerajaan Persekutuan.
“Mereka tidak seharusnya dipinggirkan dan dilayan sebagai rakyat kelas bawahan.,” katanya.
Beliau menaruh keyakinan bahawa Hindraf Tanjung Malim akan terus membela kebajikan dan nasib Orang Asli di Parlimen tersebut, tanpa mengira agama dan keturunan.