Perak Komited Terhadap Projek-2 Pembangunan Telekomunikasi

Reading Time: 2 minutes
IPOH | Perak terus komited dalam memberikan kerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan telekomunikasi, bagi memberi impak tinggi dalam membantu meningkatkan perhubungan rakyat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata bagi memastikan setiap projek di Perak berjalan lancar, kerajaan negeri sentiasa berkolaborasi secara strategik dengan kerajaan persekutuan melalui pelbagai jawatankuasa yang ditubuhkan.

“Pelbagai projek pembangunan termasuk infrastruktur telekomunikasi yang dilaksanakan dan ditambah baik di negeri ini dari semasa ke semasa, membuktikan kerajaan persekutuan peka dalam memastikan manfaat teknologi komunikasi sebagai penghubung kepada kemajuan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu merasmikan Kembara Digital Malaysia (KDM) 2019 yang berlangsung dua hari bermula hari ini (Sabtu), anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan kerjasama kerajaan negeri dan Telekom Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Gobind Singh Deo.

Dalam pada itu, Hasnul Zulkarnain turut mengingatkan rakyat Perak supaya tidak menyalahgunakan kecanggihan teknologi dengan menyebarkan berita yang benar dan mengelakkan dari terjebak, dengan penyebaran cerita palsu dan negatif.

“Rakyat Negeri Perak diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan setiap perkara, terutama pembohongan yang disebar dengan berleluasa di media sosial. Jika tidak dibendung, perbuatan itu boleh mengancam keselamatan dan keamanan negara,” katanya.

Mengenai KDM 2019, Hasnul Zulkarnain berkata program itu diharap dapat memberi kesedaran tentang kepentingan penggunaan digital, khususnya media sosial secara positif.

Program KDM 2019 bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai perkhidmatan akses jalur lebar berkelajuan tinggi, mempromosikan manfaat yang boleh diperolehi menerusi penggunaan digital, serta memberi kesedaran mengenai keselamatan penggunaan media sosial.

Karnival berteraskan digital bersempena sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia itu berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam dan tiada bayaran masuk dikenakan.

Kira-kira 50 pempamer terdiri daripada penyedia perkhidmatan jalur lebar, pengeluar/pengedar perkakasan dan perisian ICT serta agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri akan mengambil bahagian sepanjang dua hari KDM.

— BERNAMA