Saya Cabar Menteri Melayu Dalam Kerajaan Berani Ambil Tindakan Terhadap Individu Hina Nabi – Tok Arr

Reading Time: 2 minutes

LUMUT | Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr. Azhar bin Ahmad mencabar  Menteri-menteri Melayu Islam yang berada dalam kerajaan Pakatan Harapan hari ini supaya bertindak tegas terhadap individu yang menghina Nabi Muhamad S.A.W. di laman media sosial baru-baru ini.

Beliau turut menyatakan rasa hairan sejak kebelakangan ini di era Malaysia Baharu banyak hal-hal berkaitan Islam dipertikai oleh orang-orang bukan Islam di Malaysia.

“Kita sabar dan tak ganggu agama mereka, tak protes, tak pernah komen satu ayatpun menghina agama mereka … kenapa mereka harus hina agama kita dengan begitu ekstrim?” soal beliau.

Beliau memberikan contoh tindakan menghina Nabi oleh seorang individu baru-baru ini di laman sosial dengan membuat gambaran yang begitu teruk hingga hilang nilai-nilai sebagai seorang
manusia.

“Kalau mereka tak suka kepada Islam, benci pada Islam, tak perlu menghina our Prophet Salallahu alaihi wassalam. (Nabi Muhamad S.A.W.).

“Jadi saya rasa sudah sampai had-had sabar ini … saya nak cabar Menteri-menteri tertentu, Menteri Islam Melayu dalam Kabinet, apakah mereka buta hati buta perasaan pekak tuli, orang menghina Nabi kita, orang mencerca Nabi kita sebegitu rupa mereka boleh diam semata-mata bimbang akan kehilangan pengaruh politik?

“Leceh dan dayuslah mereka yang ada kuasa tidak mengambil tindakan tegas terhadap manusia ‘binatang’ seperti ini.

“Pihak berkuasa harus mengambil tindakan serta-merta. Ini perkara yang serius,” katanya kepada Independent selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO Bahagian Beruas di Hotel Marina Cove pada Sabtu.

Tambah Datuk Azhar (atau biasa dipanggil Tok Arr), beliau bimbang jika perkara ini dibiarkan, orang-orang Melayu akan hilang kesabaran dan mengambil tindakan di luar batas undang-undang dan mencadangkan kerajaan tidak bertoleransi lagi dalam isu sebegini. Beliau mencabar Menteri-menteri Melayu Islam dalam kerajaan tunjukkan keberanian.

“Janganlah diam membisu pekakkan telinga hanya semata-mata kerana keuntungan politik,” pesan beliau.

Baru-baru ini, seorang individu yang menggunakan nama akaun Facebook Wendy Loong menghina Nabi Muhamad dengan membuat hantaran di laman sosial dalam bentuk kartun rupa yang buruk dan hina terhadap Nabi. Hampir 500 laporan polis telah dibuat di seluruh negara menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu berkenaan.