UMNO Terima Siapa Saja Kembali Tapi Dengan Syarat

Reading Time: < 1 minute

LUMUT | UMNO sentiasa membuka pintu kepada mereka yang telah bertindak meninggalkan parti dan ingin kembali semula kepada parti keramat itu tapi dengan syarat yang perlu diikuti.

Demikian menurut kenyataan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan atau lebih popular dengan panggilan Tok Mat semasa bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Beruas Tahun 2019 di Hotel Marina Cove, Lumut hari ini. 

Beliau menegaskan mereka yang mempunyai jawatan semasa meninggalkan parti, contohnya Ketua Bahagian tidak lagi boleh memegang jawatan lama itu sebaliknya menjadi ahli parti yang baru, diberi nombor keahlian yang baru dan semuanya terpulang kepada syarat-syarat pentadbiran UMNO.

Ini kerana jawatan yang dipegang dahulu sudah diisi oleh ahli yang lain dan mereka tidak boleh lagi mendapat jawatan yang sama kerana sudah diberi keahlian yang baru.

“Syaratnya mereka mesti menjadi ahli baru … mereka tak boleh lagi membawa jawatan semasa mereka meninggalkan parti dahulu, ” katanya.

Tambahnya, kalau hendakkan jawatan dan sebagainya, semuanya termaktub dalam peraturan pentadbiran UMNO.

“Jadi tidak timbul soal kita (UMNO) tak terima siapa-siapa, kita terima siapa-siapa … asalkan dia menepati syarat menjadi ahli, kita akan terima,” katanya lagi.

Menyentuh tentang piagam penyatuan antara UMNO dan PAS, beliau menjelaskan ia adalah suatu rangka kerja yang mesti diikuti oleh kedua-dua pihak bagi menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

Ujarnya, satu Jawatankuasa Penyelaras akan ditubuhkan di peringkat Negeri manakala Jawatankuasa Pelaksana pula akan ditubuh di peringkat Bahagian dan Parlimen.

“Apa saja program atau gerak kerja mesti diuruskan oleh Jawatankuasa Penyelaras dan Jawatankuasa Pelaksana ini supaya kedua-dua pihak dapat bergerak bersama-sama,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Beruas ialah Datuk Dr. Azhar Ahmad. Turut hadir dalam program perasmian pada hari ini ialah bekas Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir.