Tiada Cuti Umum Isnin Depan Walau Perak Muncul Juara

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Tiada cuti umum pada hari Isnin depan sekiranya Perak berjaya muncul juara Shopee Piala FA 2019, malam esok.

Menteri Besar Perak yang juga Presiden Persatuan Bola Sepa Perak (PAFA), Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, orang ramai khususnya penyokong yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan aksi final berdepan Kedah malam esok, berpeluang berehat pada cuti hujung minggu (Ahad).

Menurut beliau, pada Selasa pula seluruh negara bercuti sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al Sultan Abdullah Riayatuddin al-Mustafa billah Shah.

“Perak tak perlu bercuti Isnin. Hari Ahad dah rehat dan memandangkan kita juga akan sambut cuti umum pertabalan Agong.

“Saya kira negeri Perak perlu lebih masa bekerja untuk kembalikan kegemilangan negeri kita ini.

“Tak perlu kita bercuti pada Isnin kerana pada Ahad kita sempat berehat daripada menyambut kejayaan pasukan di final (jika menang) dan hari Selasa kita boleh rehat balik. Kalau banyak sangat cuti, rugi kita,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita sewaktu menerima kunjungan skuad Perak ke Hospital Pakar Ipoh (KPJ) bagi menziarahi beliau yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Ahmad Faizal berkata, aksi final berkenaan akan turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah, Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Zulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah