Tindakan Wendy Hina Nabi Boleh Cetus Ketegangan Kaum

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Pemuda PAS Perak tampil menggesa pihak PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak segera terhadap Wendy Loong yang memuat naik kenyataan serta gambar yang menghina Nabi Muhammad SAW di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Ketua Pemuda, Ahmad Faisal Mohd Puait berkata, tindakan individu berkenaan telah mengguris hati seluruh umat Islam di negara ini.

Menurut beliau, pihak PDRM dan SKMM perlu bertindak segera terhadap Wendy Loong kerana tindakan biadapnya boleh mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian negara ini.

“Islam adalah agama keharmonian dan keamanan. Oleh itu, kita mahu semua rakyat di negara ini terutamanya umat Islam terus sepakat khususnya dalam usaha membela agama dan tanah air.

“Tindakan biadab ini adalah satu kesalahan jenayah di bawah seksyen 298A dan 505(c) Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya kepada pemberita setelah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh petang tadi.