Kerajaan Tawar Sewa Tanah Bagi Tangani Isu Peneroka Haram

  •  
  •  
  •  
Reading Time: 2 minutes

Foto Akhmad Romadoni Warta Bromo

IPOH | Kerajaan Perak menggunakan pendekatan terbaik dalam menangani isu peneroka haram yang menceroboh tanah milik kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) apabila menawarkan kepada mereka untuk menyewa tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Perak, antara peneroka tersebut termasuklah tujuh petani dari Chemor yang menerima notis untuk mengosongkan tanah milik kerajaan negeri dalam tempoh 14 hari seperti yang disiarkan media.

Kesemua peneroka terbabit telah ditawarkan untuk menyewa tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak.

Menurut kenyataan itu, kerajaan negeri tidak merancang untuk mengambil sebarang tindakan ke atas para peneroka haram terbabit walaupun mereka telah menjalankan aktiviti pertanian tanpa membayar sebarang hasil kepada kerajaan negeri selama lebih 50 tahun.

“Berdasarkan rekod Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak, beberapa siri perbincangan telah berlangsung dengan para peneroka haram berkenaan dan ada persefahaman awal yang telah dipersetujui sebelum notis dikeluarkan kepada mereka,” menurut kenyataan tersebut yang dikeluarkan pada Jumaat.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai menjawab kenyataan petani bahawa mereka dipaksa mengosongkan tanah yang telah diusahakan selama 50 tahun dalam tempoh 40 hari di kawasan itu kerana tanah tersebut akan diberikan kepada pemain pasukan Perak.

Pejabat Menteri Besar Perak menjelaskan, notis 14 hari yang telah diserahkan kepada peneroka haram itu merupakan prosedur standard bagi memberi ruang kepada mereka untuk membuat persediaan mengosongkan tanah tersebut.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah pencerobohan tanah milik kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, yang telah berlanjutan selama puluhan tahun.

“Kerajaan Perak amat komited untuk menyelesaikan isu setinggan dan usaha haram di negeri ini namun dalam masa yang sama akan membantu petani-petani kecil bagi meneruskan aktiviti petanian secara sah dengan menyewa tanah kerajaan negeri dan GLC negeri pada kadar yang sangat berpatutan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut di Perak terdapat lebih 24,000 hektar tanah milik kerajaan negeri dan GLC negeri diceroboh pihak tertentu termasuk peneroka haram korporat.

Tindakan itu menjejaskan perancangan untuk menjalankan projek pembangunan, membina rumah mampu milik, aktiviti ekonomi serta usaha membawa masuk para pelabur ke Perak.

Justeru itu, kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyelesaian Setinggan dan Usaha Haram Negeri Perak bagi menyelesaikan isu berkenaan dengan tumpuan utama adalah tindakan penguatkuasaan ke atas peneroka-peneroka haram korporat.