Kain Perca Terbuang Boleh Jadi Sumber Pendapatan

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan bekerjasama dengan sebuah kilang pembuatan barang kelengkapan rumah berasaskan tekstil di Perak dalam usaha meningkatkan tahap ekonomi golongan B40 di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, cetusan idea itu akan melibatkan golongan B40 yang akan menghasilkan produk seperti sarung bantal dan cadar dari kain perca lebihan kilang tersebut.

“Saya bertanya pada beliau (pihak kilang) perca-perca itu dijadikan apa, dia pun tak tahu apa nak buat dengan perca itu, saya pun bincang boleh tak perca ini diberikan kepada penduduk di rumah-rumah PPR B40.

“Agar mereka boleh sambung perca ini untuk menjadi sarung bantal, cadar dan sebagainya iaitu bahan-bahan bilik tidur.

“Ini boleh dikatakan pertama di negara ini (idea), mungkin pertama di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Kilang Akemi di Chemor, di sini pada Jumaat.

Bagi peringkat permulaan seramai 30 orang dari kawasan PPR di sekitar Ipoh mengikuti bengkel selama sehari yang dianjurkan di kilang tersebut.

“Fasa seterusnya saya akan berusaha mendapatkan mesin-mesin jahit untuk diletakkan di tempat mereka (peserta bengkel), jadi perca itu akan dibawa ke sana dan mereka mula jahit di situ.

“Mereka boleh buat sebagai pendapatan untuk jual dengan harga yang berpatutan untuk golongan B40 di kalangan mereka dan sudah tentu untuk keperluan peribadi mereka,” katanya lagi.

Tambahnya, kemungkinan kerjasama sebegini akan dikembangkan menerusi syarikat lain dengan produk yang berbeza khusus untuk meningkatkan taraf ekonomi golongan B40.