IPOH | Naib Pengerusi PKR Perak, Tan Kar Hing minta semua ahli parti itu supaya bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menyakiti pihak lain.
Katanya, ini susulan kenyataan daripada Lembaga Disiplin PKR yang mahu menghubungi Pengerusi PKR negeri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak serta Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bagi mendapatkan penjelasan mengenai kenyataan dikeluarkan mereka sejak kebelakangan ini.
Malah menurut beliau, perkara berkenaan turut dibincangkan sempena program pemukiman PKR di Port Dickson baru-baru ini dan semua ahli PKR juga diminta mengambil pendirian untuk bertenang berhubung perkara berkenaan
“Bagi kita, ia adalah proses biasa supaya mana-mana individu yang mahu mendakwa atau didakwa akan diberikan ruang untuk memberikan penjelasan kepada parti terhadap tindakan mereka.
“Oleh itu, kita masih lagi mengambil pendirian sebagaimana program pemukiman PKR di Port Dickson yang mana semua ahli diminta untuk bertenang.
“Justeru pendirian kita adalah pendirian semasa program permukiman tersebut dan kita masih berpegang dengan pendirian itu,” katanya pada kepada pemberita pada majlis penyampaian hadiah kepada kesemua pemenang Design Competition Save Water Stop Smoking di Koloni Karyawan, Ipoh pada Khamis.
Kar Hing seterusnya menegaskan PKR Perak akan terus menyokong Farhash bagi menerajui PKR Perak.
Katanya, satu mensyuarat akan diadakan minggu depan setelah Farhash kembali ke Perak.
“Kita juga akan teruskan semua program yang telah dirancang dalam tempoh terdekat, termasuklah kedatangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perak Ogos depan,” katanya.