Polis Dapat Perintah Batal Himpunan Protes Tulisan Jawi

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 27 Dis — Polis telah mendapatkan perintah mahkamah bagi melarang penganjuran persidangan membantah tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular, yang dijadual berlangsung di Kajang, esok, seperti yang dilaporkan Bernama.

Susulan itu, pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) dalam kenyataan bersama memaklumkan bahawa persidangan itu dibatalkan selepas menerima perintah mahkamah, petang tadi.

Dong Jiao Zong turut meminta supaya peserta membatalkan kehadiran mereka pada acara itu yang dijadual berlangsung di sebuah kolej universiti.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dalam kenyataan berasingan berkata polis telah menyerahkan perintah mahkamah itu pada kira-kira pukul 5.00 petang tadi.

Beliau berkata perintah mahkamah itu dipohon atas dasar untuk mengelak berlaku gangguan kepada ketenteraman awam yang boleh mencetuskan kegusaran orang ramai.

Katanya polis menerima banyak laporan di seluruh negara berhubung persidangan berkenaan.

“Pihak polis menyeru semua pihak terlibat dan orang ramai supaya tidak hadir ke persidangan itu ataupun mana-mana perhimpunan lain bagi membantah perhimpunan berkenaan yang dianjurkan oleh pihak NGO (badan bukan kerajaan), persatuan dan pertubuhan,” katanya.

Katanya tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pihak yang enggan mematuhi undang-undang.

NGO itu sebelum ini bercadang mengadakan bantahan di sebuah kolej atas pengajaran tulisan Jawi dalam sukatan pelajaran di sekolah.