Polis rampas rokok seludup bernilai RM2.8 juta

Reading Time: < 1 minute

TAPAH, 27 Dis — Sebanyak 23,800 karton rokok jenama ‘Manchester United Kingdom’ yang disyaki diseludup, dirampas dalam serbuan ke atas empat buah lori di Kilometer 318.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata semua rokok yang dirampas bernilai RM2.8 juta dan pihak polis turut menahan empat pemandu lori terbabit yang berumur 26 hingga 39 tahun dalam serbuan kira-kira pukul 4.40 petang itu.

Katanya hasil maklumat orang awam, Bahagian Siasatan Jenayah serta Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah melakukan operasi ke atas sindiket pengedaran rokok seludup yang bergiat aktif di Semenanjung Malaysia.

“Hasil semakan mendapati kesemua rokok berkenaan menggunakan setem kastam ‘duty paid’ yang disyaki adalah setem palsu.

Kita masih menyiasat sama ada kesemua suspek ini mempunyai hubung kait dengan penahanan tiga lelaki berkaitan rokok seludup yang dirampas di sini, Isnin lepas,” katanya dalam sidang media di IPD Tapah di sini, hari ini.

Wan Azharuddin berkata tiga daripada empat suspek yang ditahan semalam mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Katanya kesemua suspek kini direman tujuh hari ini bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang mana boleh dihukum mengikut Seksyen 135 akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Isnin lepas, polis berjaya merampas 25,850 karton rokok bernilai RM4.3 juta yang lari daripada cukai dengan penahanan tiga lelaki termasuk dua warga Bangladesh di sebuah gudang di Wisma Ransons, Jalan Station di sini.

Wan Azharuddin berkata ketiga-tiga lelaki berusia 20 hingga 47 tahun itu ditahan dalam serbuan dilakukan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman kira-kira pukul 10.30 malam.

— BERNAMA