Kisah Anak Yatim Guna Pakaian Koyak Insafi Mimbar Nusantara

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Kisah adanya anak-anak yatim yang memakai pakaian lama dan paling menyedihkan ada pula pakaian yang dipakai koyak apabila sesi persekolahan hendak bermula telah memberi keinsafan kepada Mimbar Nusantara Holdings Sdn Bhd untuk terus berbakti kepada rumah-rumah anak yatim di negeri ini.

Atas dasar keperihatinan ini maka syarikat pemaju perumahan itu telah bekerjasama dengan Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak (KSKMP) dan Pasaraya Mydin  Meru  Raya untuk menyumbang pakaian dan beg sekolah kepada 50 anak yatim Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darulssalam Kampung Melayu Sungai Rapat.

Pagi tadi Pengarah Urusan Mimbar Nusantara Holdings Sdn Bhd, Nazrin Chong Abdullah telah menceriakan 50 anak-anak yatim Darulssalam dengan menyumbang kelengkapan persekolahan.

Mereka yang berumur lingkungan empat ke 17 tahun itu  menzahirkan rasa gembira apabila menerima sumbangan bantuan persekolahan daripada syarikat tersebut.

Menurut Nazrin Chong Abdullah, setiap seorang daripada mereka diperuntukkan sejumlah RM150 yang mana masing-masing menerima dua pasang baju dan seluar uniform sekolah, tiga pasang stokin serta sepasang kasut.

Katanya, pihak Pasaraya Mydin Meru Raya pula menyumbangkan beg sekolah kepada kesemua anak-anaka yatim tersebut.

“Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti ini kita telah laksanakan sejak lebih 10 tahun lalu.

“Pada musim pembukaan sekolah ini, kita memfokuskan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam.

“Ia merupakan permintaan pihak pertubuhan juga yang mana ia telah menyentuh hati saya untuk kami menghulurkan bantuan kepada mereka,’’ katanya kepada pemberita pada Program Kembali Ke Sekolah di Pasaraya Mydin Meru Raya, Ipoh pada Sabtu.

Menurut Nazrin, pihak syarikat akan mempertimbangkan memberi bantuan sama kepada pertubuhan yang lain pada masa akan datang.

Sementara itu, wakil KSKMP, Rosli Mansor menzahirkan ucapan penghargaan kepada Mimbar Nusantara dan Mydin Meru Raya atas sumbangan-sumbangan yang dihulurkan.

Katanya pihak penyelia Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam telah lama menyuarakan permintaan bantuan tersebut dan akhirnya ditunaikanoleh  Mimbar Nusantara.

“Mewakili pertubuhan itu saya mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan khusus kepada Mimbar Nusantara dan Mydin Meru Raya.

“Anak-anak ini jelas kelihatan gembira kerana ada antara mereka ini terpaksa memakai pakaian persekolahan yang agak lusuh dan koyak,’’ ujarnya.