BAGAN SERAI | Seramai 80 mahasiswa tahun satu MBBS, Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine (UniKL RCMP) telah mengadakan Program Jelajah Etnik 3.0 di petempatan Kuala Gula, Bagan Serai kelmarin.
Program diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar jurusan perubatan untuk melihat dan mendapatkan pengalaman berkaitan kehidupan masyarakat nelayan dan pekerja di kawasan ladang kelapa sawit.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah menyusuri perairan Kuala Gula dan Teluk Rubih (Ban ju kau), taklimat Konservasi burung hijrah Kuala Gula oleh Jabatan Perhilitan, meninjau keadaan pembangunan dan kegiatan ekonomi Perkampungan Tersusun Kuala Gula iaitu Kampung Melayu dan Bagan Cina serta penempatan pekerja Ladang Eng Tay yang kebanyakannya dibantu oleh kaum India.
Selain itu para mahasiswa juga berpeluang melawat Tokong Cina Sam Po Tong yang menjadi tarikan pelancong luar ke kawasan ini.
Menurut Pensyarah Penasihat UniKL RCMP, Ibrahim Ahmad, selain memenuhi silibus mata pelajaran Hubungan Etnik, program ini dapat membuka minda mahasiswa untuk melihat sendiri keadaan sebenar kehidupan nelayan dan pembangunan fizikal di kawasan destinasi pelancongan ini.
“Saya berharap bakal-bakal doktor ini bukan sahaja dapat mengetahui suasana kehidupan masyarakat nelayan yang terdiri daripada pelbagai kaum, malah dapat menambah pengetahuan berkaitan kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar yang juga berkait rapat dengan kesihatan,” katanya.
Bagi Meor Fahmi Anwar Meor Shahimudin, beliau berbangga kerana dapat menyelami kehidupan masyarakat nelayan dan pekerja ladang kelapa sawit.
“Program ini dapat membuka mata saya situasi kehidupan masyarakat di luar bandar khususnya nelayan dan pekerja estet yang juga berperanan penting menyumbang kepada ekonomi negara, Saya amat berharap para pelajar terus mendapat pendedahan pada masa akan datang,’’ katanya yang juga Pengarah program tersebut.
Seorang peserta yang ditemui, Nur Atiqah Rosidi pula berpendapat program ini sangat memberi manfaat kepada mahasiswa, terutamanya kepada mahasiswa dari kawasan bandar.
“Saya amat berharap Program Jelajah Etnik ini akan menjadi sebahagian daripada promosi pelancongan khususnya di negeri Perak. Kuala Gula merupakan kawasan persinggahan burung hijrah dari pelbagai negara dan wajar dibangunkan sebagai destinasi pelancongan utama di negara kita. Dengan cara ini ia dapat menambah pendapatan penduduk di sini,’’ katanya.
Sebelum itu, para mahasiswa juga berpeluang menaiki bot untuk melihat perairan Kuala Gula dan keindahan paya bakau.
Program ini mendapat sokongan dan kerjasama Pejabat Menteri Besar Perak, Sahabat Bakau Kuala Gula dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
Program ini turut mendapat sokongan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Selinsing, Ustaz Ahmad Saqif Ansorullah Jihbadz Mokhlis.