“Itulah Wajah Sebenar PAS” – Hasnul

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Pemuda Amanah Perak menyifatkan kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh bahawa tindakan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah perkara yang wajib dilakukan sebagai tidak wajar.

Ketua Pemuda Amanah Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata,  kenyataan yang dibuat Zawawi pada Muktamar PAS Tahun Ke-65 jelas menunjukkan wajah sebenar PAS yang sentiasa mengeluarkan fatwa baharu setiap kali penganjuran Muktamar.

“Itulah wajah sebenar PAS yang mana setiap kali menganjurkan Muktamar, mereka akan ada ‘fatwa’ baharu … malah kini menyebut hukum menjatuhkan kerajaan sedia ada adalah wajib.

“Sedangkan saya kira banyak kebaikan dan pembenterasan jenayah yang dilakukan kerajaan. Adakah mereka tidak melihat ia satu kewajipan yang dituntut Islam?

“Dalam masa sama, kita ada melaksanakan program-program kebajikan dan bantuan rakyat seperti di peringkat negeri, Kad Perak Prihatin.

“Dan juga bajet tahunan tambahan kepada Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama. Tidakkah itu langkah menjaga Islam dan rakyat?”, katanya kepada pemberita pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Perkarangan Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Ipoh pada Isnin.

Sehubungan itu, Hasnul meminta pemimpin-pemimpin PAS supaya berpijak di bumi nyata serta realiti politik hari ini dan berhenti memainkan sentimen agama.

Menurut beliau, kerajaan yang memerintah hari ini sentiasa berusaha menjaga kebajikan rakyat selaras dengan tuntutan Islam.

Hasnul berkata,  rakyat pada hari ini sudah selesa dengan pentadbiran kerajaan PH.

“Ada maklum balas yang baik daripada rakyat. Seperti menjelang sambutan Hari Raya baru-baru ini, kita tidak mendengar keluhan kenaikan harga barang malah, majlis-majlis rumah terbuka masih diteruskan,” ujarnya.

Mengenai program hari ini, beliau berkata,semua agensi kerajaan di bawah Portfolio Penerangan telah disarankan menganjurkan program sampingan bagi meraikan golongan yang kurang bernasib baik.