86 Warga Malaysia Ditahan Di Luar Negara Kerana Jadi Keldai Dadah

Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR | Seramai 86 orang warganegara Malaysia berada di luar negara kerana ditangkap atas kesalahan menjadi ‘keldai dadah’ untuk tempoh sehingga hari ini bagi tahun 2019. Begitu menurut satu kenyataan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), CP Datuk Mohd Khalil Kader Mohd di dalam sidang media di Dewan Theatrette, Menara 1, Bukit Aman hari ini.

Menurutnya, dari 86 orang itu, 7 di Australia, 7 di Hong Kong, 15 di Indonesia, 2 di Iran, 13 di Jepun, 9 di Korea Selatan, 2 di Laos, 1 di Peru, 23 di Singapura, 6 di Taiwan dan 1 di Thailand.

Bagi tahun 2018, seramai 164 warga negara Malaysia telah ditangkap manakala bagi tahun 2017 seramai 115 orang. Mereka yang ditangkap itu masih lagi ditahan di negara-negara berkenaan.

Kata Mohd Khalil, baru-baru ini dalam satu operasi khas, pihak polis telah berjaya menahan 2 lelaki warga negara Nigeria yang disyaki menjalankan aktiviti merekrut rakyat Malaysia untuk bekerja menjadi keldai dadah.

Pihak polis telah merampas 227 gram kokain bernilai RM55 ribu daripada mereka bersama sebuah kereta Nissan Sentra. Tetapi mereka didapati tiada rekod jenayah dan ujian urin mendapati keputusan negatif.

“Reman selama 7 hari habis hari ini dan mereka sedang berada di mahkamah untuk disambung reman kerana siasatan masih lagi diteruskan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati jika ditawarkan pekerjaan di luar negara kerana pihak yang membuat tawaran kemungkinan mempergunakan keperluan mendesak rakyat negara ini yang mencari pekerjaan untuk menjadi keldai dadah.

“Rakyat Malaysia yang mana ditawarkan pekerjaan di luar negara tolong rujuk ke Jabatan-2 berkaitan … sekarang mereka sedang mengambil kesempatan di atas keperluan mendesak kita nak cari kerja … bila ada peluang kita ambil tanpa mengambil kira apakah kerja sebenar yang ditawarkan.

“Bila mereka beri beg atau barang-barang untuk dibawa kepada ‘kawan’ mereka di sana, kamu berhak periksa atau jangan bawa. Kalau kamu ditangkap di sana kita tak dapat bantu kerana tertakluk kepada undang-undang di sana,” pesannya.