PRK Tanjung Piai: 6 Calon Sah Bertanding

Reading Time: < 1 minute

PONTIAN, 2 Nov — Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 Nov ini menyaksikan pertandingan enam penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gerakan, Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua orang calon Bebas.

PH yang dalam misi mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu, meletakkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, manakala BN mempertaruhkan bekas penyandang kerusi itu, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, 55, untuk merampas kembali kerusi yang pernah beliau menangi pada PRU12 dan 13.

Turut mencuba nasib adalah parti Gerakan yang mencalonkan Timbalan Setiausaha Agung Nasional dan Naib Ketua Wanita Nasional parti itu, Wendy Subramaniam, 38, Presiden Berjasa Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, 56, dan dua calon Bebas iaitu Ang Chuan Lock, 49, dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar, 43.

Keputusan pencalonan diumumkan Pegawai Pengurus PRK Tanjung Piai Zulkifly Mohd Tahir di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini

Proses pencalonan yang berlangsung selama sejam ditutup pada 10 pagi.

— BERNAMA