PAS Jelas Tidak Mempunyai Prinsip

Reading Time: 2 minutes

Merujuk kepada kenyataan oleh Ketua Dewan Ulama PAS, Dr Nik Zawawi Salleh dan
Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya yang mengeluarkan fatwa dan pendirian baru
berhubung larangan mengundi calon bukan Islam sebelum ini adalah sebagai tidak mutlak.
Sementara Ahmad Yahaya pula mendakwa mengundi calon MCA di Tanjung Piai umpama membeli
barangan Melayu-Islam dari penjual Cina.

Kedua-dua kenyataan terbabit jelas menunjukkan PAS sedang terkial-kial mencari hujah yang
membolehkan ahli mereka mengundi calon bukan Islam dari parti MCA di Tanjung Piai demi
membolehkan penyokong mereka menerima persekongkolan PAS bersama UMNO, MCA dan
MIC.

Jika dahulu bersama Pakatan Rakyat, PAS mengambil pendirian untuk menyokong DAP dan
menolak MCA berikutan pemimpin PAS menyifatkan MCA sebagai kafir harbi yang membawa
mudarat besar apabila parti itu secara terang-terangan menolak Islam dan hudud. Namun hari
ini sekali lagi PAS membuat pusingan U apabila sibuk mencari hujah bagi menyokong fatwa
mereka untuk membolehkan penyokong mereka mengundi calon MCA dan menolak calon
Muslim daripada Pakatan Harapan di PRK Tanjung Piai.

PAS yang sebelum ini sibuk dengan kempen ‘buy muslim first’ hari ini mengeluarkan pula
kenyataan ‘lebih baik membeli daripada penjual Cina yang menjual produk Melayu berbanding
membeli daripada peniaga Melayu yang menjual produk Cina’. Bukankah ia jelas bertentangan
dengan agenda ‘buy muslim first’ yang dilaungkan mereka? Adakah kempen mereka membantu
peniaga Muslim menjadi keutamaan atau mengekalkan kuasa politik mereka yang menjadi
keutamaan sebenarnya?

Inilah akibat politik oportunis dan tidak berprinsip di bawah pimpinan Dato Seri Abdul Hadi
Awang. Pelbagai kenyataan pusingan U berkaitan agama akan dibuat bagi membolehkan undi,
kuasa dan kedudukan parti itu selamat. Kenyataan Dr Nik Zawawi Salleh dan Ahmad Yahaya
jelas mengisyaratkan betapa murahnya prinsip PAS. Apa saja boleh dijual demi undi, kuasa dan
kedudukan.

Bayangkan kalau Seniman Agung Tan Sri P Ramlee masih ada, mungkin seniman genius itu
akan berkata “Berapa banyak pusingan U daa…”

Dr. Abdul Aziz Bari

Naib Pengerusi DAP Perak