PKP: Kebenaran Lebih Seorang Ahli Keluarga Dalam Satu Kereta

Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA | Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahap empat yang bermula hari ini, membenarkan ketua keluarga yang keluar membeli makanan atau barangan keperluan harian, membawa seorang lagi ahli keluarga bersama, dalam satu kenderaan.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kebenaran itu berdasarkan kemas kini Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 yang diwartakan semalam dan berkuat kuasa hari ini, sehingga 12 Mei 2020.

Namun, kelonggaran itu adalah dengan syarat kedua-duanya dari rumah yang sama dan keluarga yang terdekat.

Beliau mengumumkannya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan PKP di Putrajaya.

Kerajaan juga memutuskan untuk membenarkan pergerakan melebihi radius 10KM bagi membeli barangan keperluan harian, atau mendapatkan Perkhidmatan penjagaan kesihatan dan perubatan.

Ia juga dengan syarat, sekiranya barangan keperluan dan perkhidmatan tersebut tidak terdapat dalam radius 10km dari kediaman. – RTM