Koronavirus: 94 Kes Baru, 72 Darinya Kes Import

Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA (Bernama) | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengumumkan 94 kes baharu positif COVID-19 sehingga 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 5,945.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah 94 kes baharu berkenaan 72 kes adalah kes import melibatkan warganegara dan pelajar Malaysia yang pulang dari Indonesia.

 “Manakala 55 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad ialah 4,087 kes.

“Dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal 100 kes,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini COVID-19 di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, 34,113 sampel telah diambil daripada aktiviti survelan merangkumi survelan klinikal iaitu Influenza Like Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di klinik-klinik dan hospital KKM; saringan bagi anggota kesihatan; persampelan sebelum pembedahan kecemasan di hospital KKM; dan persampelan di makmal swasta.

Daripada jumlah itu, 6,100 adalah sampel klinikal survelan iaitu ILI dan SARI, dengan 71 sampel disahkan positif COVID-19.

Bagi kes ILI, lapan kes disahkan positif daripada 1,322 sampel yang diambil manakala kes SARI membabitkan 63 kes positif daripada 4,778 sampel.

Katanya, KKM juga memantau keputusan ujian COVID-19 yang dijalankan oleh sektor swasta, dengan ujian ini dihantar ke makmal swasta dan didapati terdapat 84 kes positif dikesan daripada 22,081 ujian yang dijalankan di makmal itu.

“Aktiviti survelan ini sememangnya bertindak sebagai sistem pengesanan awal dan sistem amaran awal bagi penularan COVID-19 di Malaysia.

“Pihak KKM akan terus menjalankan aktiviti survelan COVID-19 di Malaysia walaupun selepas PKP ditamatkan, dengan aktiviti ini akan terus dimantapkan lagi termasuk di sektor swasta dan melibatkan pelbagai zon,” katanya lagi.