Suri Rumah Antara Enam Individu Ditipu Lebih RM1 juta Pelaburan Sarung Tangan

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Seorang suri rumah antara enam individu yang mengalami kerugian lebih RM1.1 juta setelah diperdaya oleh pasangan suami isteri berhubung pelaburan sarung tangan di Selangor tahun lalu.


Seorang ahli perniagaan, Shaharizad Shahrul Asmawi, 39, yang mewakili kesemua individu terbabit berkata, mereka mula melabur dalam sebuah syarikat kendalian pasangan bergelar `doktor’ itu pada 26 Februari 2021 sebagai modal bagi pembekalan bahan berkenaan.

“Mereka meminta bantuan berupa modal atas dasar kenal-mengenali dan dasar percaya, kami berjaya mengumpul wang sehingga RM1.2 juta menggunakan wang simpanan selain meminjam dari saudara-mara.

“Satu perjanjian kemudian telah dibuat dan ditandatangani antara kami dengan syarat wang berkenaan akan dibayar kembali dalam tempoh 40 hari,’’ kata Shaharizad kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kinta pada Rabu.

Shaharizad menunjukkan salinan cek tendang yang ditterimanya


Menurut beliau, mereka menyedari diperdaya setelah pelbagai alasan diberikan pada tempoh akhir perjanjian yang telah dibuat dan yang amat mengecewakan pasangan dalam lingkungan usia 50-an itu gagal dihubungi malah nombornya telah disekat di aplikasi Whatsapp.

“Kami kemudian berulang-alik ke pejabat dan restorannya untuk mendapatkan kembali wang kami dan dia berjanji untuk selesaikan hutang dengan memberikan cek bertarikh 12 Ogos tetapi apa yang mengecewakan cek yang diterima itu merupakan cek tendang.

“Kami hanya menerima bayaran menerusi pindahan wang berjumlah RM120,000 pada 16 September tahun lalu dan sehingga ke hari ini tiada bayaran lain yang dibuat,’’ kata Shaharizad.

Untuk rekod, pasangan itu masih berhutang kira-kira RM1.14 juta terhadap pemberi pinjam.

Katanya, apa yang amat mengejutkan apabila pasangan suami isteri itu masih menjalankan perniagaan serta berbelanja mewah mengadakan parti dan membuat aktiviti ‘amal’.

Sehubungan itu beliau menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap pasangan mengikut lunas undang-undang.

Beliau berharap dengan laporan polis yang dibuat dapat menyebarkan maklumat dan mengelak orang lain dari menjadi mangsa seperti mereka.